Imam meninggal ketika imamkan solat Jumaat di Masjid Felda Lembah Klau
Imam meninggal ketika imamkan solat Jumaat di Masjid Felda Lembah Klau
RAUB – Seorang imam menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan husnul khotimah ketika mengimamkan Solat Jumaat di Masjid Rahmat, Felda Lembah Klau, Raub, hari ini.
Allahyarham Tengku Badri Tengku Jaafar, 63, dilaporkan rebah selepas rukuk rakaat kedua kira-kira jam 1.40 tengah hari di hadapan hampir 500 jemaah yang hadir menunaikan solat fardu Jumaat.
Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman, Allahyarham merupakan imam kedua di masjid berkenaan dan mula menjalankan tugas rasmi sebagai imam sejak Mei lalu.
“Kejadian itu turut disaksikan seorang penolong pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lembah Klau yang berada dalam saf solat.
“Beliau segera memberikan bantuan kecemasan, namun Allahyarham disahkan meninggal dunia di ruang imam,” katanya ketika dihubungi media.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman, memaklumkan bahawa Allahyarham mempunyai rekod rawatan penyakit jantung di Hospital Raub.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut berdasarkan maklumat perubatan sedia ada,” katanya.
Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lembah Klau selepas Solat Isyak, malam ini.
Allahyarham Tengku Badri yang juga merupakan peneroka Felda Lembah Klau, meninggalkan seorang balu, seorang anak lelaki dan tiga anak perempuan.
Pemergian beliau dalam keadaan yang mulia itu menyentuh hati masyarakat setempat yang mengenang beliau sebagai seorang insan yang tenang, berakhlak dan sentiasa mendahulukan urusan agama.-SAHIH.