Ibu dan anak antara 3 maut, empat cedera dalam kemalangan di Jalan Besar Jengka 3
Ibu dan anak antara 3 maut, empat cedera dalam kemalangan di Jalan Besar Jengka 3
Maran : Ibu dan anaknya antara tiga yang maut dan empat lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan berlaku di Jalan Besar Jengka 3, kira-kira jam 8.15 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kemalangan berlaku apabila Perodua Alza dalam perjalanan dari arah Bandar Jengka menghala ke Bandar Maran dan tiba di lokasi kejadian dipercayai Toyota Avanza masuk dari arah bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang meninggal dunia, kerani Sekolah Kebangsaan (SK) Jengka 3 yang memandu Perodua Alza , Noraini Ali (42) yang meninggal di tempat kejadian, manakala anaknya murid SK Jengka 3, Aufa Medina Azuan (7 tahun) yang duduk di bahagian penumpang hadapan kereta meninggal ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Jengka 2.
“Seorang lagi yang meninggal dunia, seorang pelajar Sekolah Menengah (SMK) Jengka 2, Nik Nurien Haziqah Nik Ibrahim (13) yang duduk di bahagian penumpang Avanza meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya
Katanya, mangsa yang cedera, seorang guru yang memandu Perodua Myvi berusia 34 tahun dan pelajar SMK Jengka 2 berusia 13 tahun menumpang kereta Toyota Avanza mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Jengka.
“Dalam kejadian itu, penumpang belakang kiri kereta Toyota Avanza pelajar SMK Jengka 2, berusia 13 tahun dan pemandu kereta sama berusia 28 tahun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh,” katanya.
Katanya, memohon orang awam menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Sek 41 (1) APJ 1987. -SAHIH.