Hujan Lebat Sejam, 32 KIR Terjejas Termasuk Dua Bayi di Lipis
Foto : Salah sebuah rumah dinaiki air di Felda Kechau Satu, awal pagi tadi. -Ihsan APM Lipis.
Hujan Lebat Sejam, 32 KIR Terjejas Termasuk Dua Bayi di Lipis
LIPIS: Hujan lebat berterusan selama kira-kira sejam awal pagi tadi mengakibatkan banjir kilat melanda dua kawasan utama di daerah ini, sekitar jam 4 pagi.
Menurut Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lipis, kawasan terjejas ialah Kampung Kechau Tui di Mukim Telang dan FELDA Kechau Satu di Mukim Kechau, dipercayai akibat limpahan air dari Sungai Kechau.
“Seramai 32 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas, membabitkan 29 KIR dari Kampung Kechau Tui dan tiga KIR dari FELDA Kechau Satu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Secara keseluruhan, 109 mangsa terlibat terdiri daripada 37 lelaki dewasa, 37 wanita, 22 kanak-kanak lelaki, 11 kanak-kanak perempuan serta dua bayi Perempuan,” katanya..
Katanya, sebagai langkah segera, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan Kechau Tui bagi menempatkan mangsa dari Mukim Telang. Bagi Mukim Kechau pula, tiada PPS dibuka kerana jumlah mangsa kecil dan mereka masih berada di kediaman masing-masing.
Setakat ini, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan, manakala siasatan berhubung kerosakan harta benda sedang dijalankan oleh agensi berkaitan.
Antara agensi yang terbabit dalam operasi bantuan dan pemantauan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi lain di bawah JPBD Lipis.
Pihak berkuasa turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan.-SAHIH.