Hati-hati di laluan RTP Lebu dan Mempaga perbuatan khianat baling batu ke arah kenderaan
Hati-hati di laluan RTP Lebu dan Mempaga perbuatan khianat baling batu ke arah kenderaan
BENTONG : Pengguna di laluan Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Lebu ke Mempaga diharap lebih berhati-hati kerana berlaku perbuatan khianat membaling batu ke arah kenderaan yang melalui jalan itu sejak kebelakangan ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pihak polis Bentong telah menerima dua laporan polis berkaitan perbuatan jahat itu.
“Tular gambar dan video melalui laman sesawang Facebook ‘Kami Penduduk Bentong Official’ memaparkan berkaitan kejadian itu pada Selasa.
“Bertindak di atas maklumat itu, pihak polis sedang memburu suspek yang melakukan kegiatan khianat ini,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, bagi membendung perbuatan jahat itu, pihak polis telah bekerjasama dengan penduduk setempat di Felda Mempaga dan penduduk kampung RTP Lebu dengan melakukan pemantauan dan rondaan untuk mengesan suspek.
“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut, hubungi dengan segera Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibunpejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09- 2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.
Sementara itu, pemilik Facebook, Nur Cahaya Jaafar menulis, perbuatan jahat itu semakin menjadi-jadi dan semakin mengganas terutama di laluan RTP Lebu ke Mempaga.
“Malam tadi di laluan sekolah ke Lebu dan Mempaga masih terdapat banyak batu-batu berselerakan termasuk di Lebuhraya CSR, perbuatan itu bukan seorang.
“Cermin kereta saya pecah, saya takut (truma) nak keluar, harap pengguna lain berhati-hati,” katanya.-SAHIH.