Hasrat sambut hari jadi di Gunung Tahan tidak kesampaian
Hasrat sambut hari jadi di Gunung Tahan tidak kesampaian
JERANTUT – Wanita pendaki gunung , Zahalita Othman (52) yang meninggal dunia di Gunung Reskit pada jam 7.30 pagi, 6 Februari lalu berhasrat menyambut hari jadinya di Gunung Tahan pada hari yang sama tidak kesampaian.
Rakannya, Nor Azilah Nandiran (45), berkata, tiga minggu sebelum pergi mengikuti program pendakian Gunung Tahan, Kuala Tahan pada 1 Februari, arwah ada menyatakan rindu kepada arwah emaknya.
“Saya nyatakan kepada dia (arwah) perkara itu memang menjadi lumrah, saya atau sesiapapun akan rindu juga kepada arwah emak.
“Selain itu, perancangan arwah untuk menyambut hari jadi ke-52 di Gunung Tahan, menarik, “ katanya ketika dihubungi.
Nor Azilah berkata, arwah ada menyatakan perasaannya untuk mendaki ke Kuala Tahan kali ini seperti ada perasaan yang agak berlainan dan pelik.
“Arwah turut menyatakan hasrat menyertai pendakian gunung tersebut sebagai persiapan mental dan fizikal untuk mendaki Gunung Kinabalu.
“Sebelum ke Gunung Tahan, arwah turut merancang mendaki Gunung Kinabalu tahun ini sebagai aktiviti terakhir sebelum bersara dan turut mempelawa saya,” katanya.
Katanya, dia kurang gembira keputusan arwah mendaki kali ini kerana keputusan itu dibuat secara tiba-tiba, tetapi tidak dapat menghalangnya.
“Saya hanya berpesan kepada seorang rakan wanita saya (Anas Nabila) salah seorang yang menyertai kumpulan pendakian itu agar menjaga arwah, seperti dia (Anas) menjaga saya kalau mendaki bersama sebelum bertolak ke Kuala Tahan.
Di Kota Tinggi, jenazah Zahalita Othman yang meninggal dunia akibat sesak nafas ketika ekspedisi mendaki di Gunung Reskit, Kuala Tahan, Pahang, Selasa lalu, dikebumikan di Felda Sungai mas, Kota Tinggi, pada jam 2 pagi tadi.
Ahli keluarga, penduduk setempat dan kenalan rapat Allahyarham antara yang hadir di tanah perkuburan itu bagi memberikan penghormatan terakhir buatnya.
Terdahulu, jenazah disembahyangkan di rumah keluarganya di Felda itu selepas tiba kira-kira jam 1.15 pagi dari Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang.
Sementara itu, anak ketiga Allahyarham, Luqman Haziq Saharuddin, 25, mengakui masih terkejut dengan pemergian ibunya itu.-SAHIH.