Guru SMKDHMT Catat Rekod Malaysia, Mengajar 18 Jam Tanpa Henti
Foto : Selvaraj (tengah) bersama barisan pentadbir SMK Dato’ Haji Mohd Taib.
Guru SMKDHMT Catat Rekod Malaysia, Mengajar 18 Jam Tanpa Henti
CHEMOR – Seorang guru muda dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Mohd Taib (SMKDHMT), Selvaraj a/l Selvam, 31, berjaya mencipta nama dalam Malaysia Book of Records apabila mengajar selama 18 jam tanpa henti, sekaligus dinobatkan sebagai Duta Guru 18 Jam.
Selvaraj, yang mengajar subjek Matematik Tambahan, Sains dan Reka Bentuk Teknologi (RBT), mencipta sejarah pada 7 Februari 2025 apabila memulakan sesi pengajaran secara dalam talian dari 8.00 pagi hingga 2.00 pagi keesokannya, melibatkan lebih 200 pelajar.

Selvaraj bersama sijil Anugerah The Malaysia Book of Records yang diterimanya.
Antara topik yang diajar termasuk Rumus Algebra, Poligon, Statistik, Kebarangkalian serta Inovasi dalam Pengajaran Matematik.
Menurut beliau, inisiatif ini bertujuan membudayakan subjek Matematik dalam kalangan pelajar serta menyuntik minat mendalam terhadap pembelajaran STEM.
Rekod ini adalah antara pencapaian terbaharu beliau, selepas menerima pelbagai anugerah seperti Duta Guru STEM Kebangsaan (Yayasan Petronas), Anugerah Ikon Guru Ko-Akademik, dan juara dalam beberapa pertandingan inovasi dan debat peringkat kebangsaan.
Pengetua SMKDHMT, Norelawati Jawahir, menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti dedikasi dan semangat luar biasa Selvaraj dalam dunia pendidikan.
“Mencapai rekod sebegini memerlukan keberanian mencabar had diri serta semangat juang tinggi. Ia menjadi inspirasi kepada pelajar dan warga pendidik seluruh negara.
“pencapaian ini selari dengan prinsip Kepimpinan Madani – memimpin, menyokong, mengangkat dan menonjol – dalam membawa kecemerlangan sekolah dan komuniti,” katanya. – SAHIH.