Guru SMK Inderapura berkelah sambil kibarkan Jalur Gemilang di Sungai Sat
Guru SMK Inderapura berkelah sambil kibarkan Jalur Gemilang di Sungai Sat
JERANTUT – Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, enam orang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inderapura, Jerantut, mengambil inisiatif menyemarakkan semangat patriotisme dengan berkelah sambil mengibarkan Jalur Gemilang di Sungai Sat, baru-baru ini.
Aktiviti santai itu pada awalnya hanya dirancang untuk beriadah bersama rakan guru lelaki sebagai cara melepaskan tekanan tugas harian, namun akhirnya bertukar menjadi pengalaman penuh bermakna apabila tercetus ilham membawa bendera Malaysia untuk dirakam sebagai kenangan.
Guru yang turut serta menyertai perkelahan itu, Mohd Mokhtar Nawi, berkata penglibatan mereka bukan sekadar menikmati keindahan sungai yang jernih serta alam semula jadi yang damai, malah sebagai simbol cinta terhadap tanah air.
“Pada mulanya kami hanya mahu bersantai di Sungai Sat, tetapi kemudian kami terfikir untuk membawa Jalur Gemilang. Ia memberi nilai tambah kerana bendera itu bukan sahaja melambangkan kebanggaan negara, malah menjadi pengikat semangat perpaduan di antara kami,” katanya.
Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan tidak hanya terhad kepada perarakan rasmi atau majlis keramaian, sebaliknya boleh dizahirkan melalui pelbagai cara kreatif, termasuk ketika aktiviti riadah.
Bagi kumpulan guru itu, mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan rekreasi memberi mesej jelas bahawa setiap lapisan masyarakat mampu menyemai rasa cinta kepada tanah air. Lebih istimewa, gambar kenangan yang dirakam bersama bendera Malaysia menjadi simbolik bahawa semangat patriotik sentiasa mekar walau di mana sahaja. -SAHIH.