Ghairah hendak kerja, pelajar ditipu RM57,488
Ghairah hendak kerja, pelajar ditipu RM57,488
KUANTAN : Terlalu ghairah untuk mendapat pekerjaan, seorang pelajar politeknik berusia 19 tahun terperdaya dengan satu tawaran kerja sambilan ‘online’ sehingga mengalami kerugian sebanyak RM 57,488.00, pada 19 Disember 2022 lalu.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang telah menerima laporan polis berkaitan mangsa tersebut yang terperdaya dengan tawaran kerja sambilan secara atas talian (online) itu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa itu menyertai iklan mencari kerja di laman media sosial ‘Instagram’ di mana mangsa dikehendaki melabur modal terlebih dahulu dan mangsa dijanjikan menerima pulangan wang hasil dari pelaburan tersebut.
“Mangsa telah berurusan melalui aplikasi WhatsApp danTelegram dalam melaksanakan tugasan yang diberikan oleh suspek penipuan itu sehingga membuat lima kali transaksi pindahan wang ke lima akaun bank yang berlainan.
“Wang tersebut diperlukan kononnya bertujuan melabur dalam satu syarikat pelaburan yang tidak wujud,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Ramli berkata, mangsa telah menggunakan wang simpanan sendiri, meminjam daripada rakan dan menggunakan wang persaraan ayahnya yang merupakan seorang pesara guru.
“Dinasihat serta menegaskan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial tanpa usul periksa yang jelas.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima dipautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.