GET santuni Pusat Jangan Mahmudah Malaysia
GET santuni Pusat Jangan Mahmudah Malaysia
DALAM kesibukan menyantuni masyarakat untuk menawarkan perlindungan bagi memenuhi aspirasi kehidupan yang boleh mencapai kejayaan pada masa depan, 20 kakitangan Great Eastern Takaful (GET) Berhad, Kuala Lumpur menimba pengalaman melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (SCR).
Bagi tujuan itu mereka mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor untuk merasai situasi sebenar menyantuni warga emas yang tidak lekang daripada pelbagai masalah dalam Program Santunan Kasih 2024 pada 29 Jun 2024.
Ketua Jabatan Pemasaran syarikat berkenaan, Nurul Sheila Khalib, berkata program yang dirancang rapi sejak beberapa bulan lalu itu bagi memberi peluang julung kali kepada kakitangan turun padang mendampingi masyarakat dan komuniti di luar bandar.
Menurutnya, dengan menyantuni warga emas itu umpamanya kakitangan akan dapat mengumpul pengalaman untuk memahami nasib penghuni terbabit sehingga tersisih di pusat jagaan tanpa dipedulikan oleh ahli keluarga yang mungkin ada khidmat boleh ditawarkan.
Kakitangan Great Eastern Takaful (GET) Berhad menyantuni warga emas yang uzur.
Tambahnya, kakitangan terbabit diberi kebebasan untuk bermesra dengan warga emas berkenaan dengan bertanya khabar di samping menyelami kesusahan dilalui mereka sehingga terpaksa mencari tempat berlindung di PJMM.
Jelasnya, program itu juga akan memberi kesedaran serta motivasi kepada kakitangan terbabit bahawa sebagai generasi muda yang berjaya dalam kerjaya namun jasa warga emas termasuk ibu bapa tidak harus dilupakan walaupun mereka tidak menagih sebarang balasan.
“Sebagai seorang anak kita seharusnya memahami tanpa ibu bapa yang banyak berkorban sudah tentu sukar untuk kita merangkul kejayaan dalam kehidupan dan mungkin inilah yang dialami warga emas terbabit apabila jasa mereka tidak dihargai oleh anak sendiri.
“Masalah ini sudah pasti menjadi bualan antara kakitangan dengan warga emas berkenaan apabila menunjukkan reaksi gembira serta berasa seronok apabila disantuni dengan mesra dan menjadi tempat meluahkan perasaan yang terpendam,” ujarnya ketika ditemui pada program berkenaan.
Turut hadir pada majlis itu Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi Jenama Korporat syarikat itu, Mastura Abd Rahim; Pengerusi PJMM, Azman Rasman dan Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado.
Pada program itu kakitangan terbabit mengadakan aktiviti senaman ringan, permainan uji minda dan menyantuni warga emas yang terlantar di atas katil kerana keuzuran dengan mengagihkan cenderamata.
Pada program itu juga Nurul Sheila menyerahkan sumbangan syarikat RM5,000 dan pelbagai barangan keperluan asas harian seperti pampers pakai buang, makanan ringan dan sebagainya kepada PJMM serta menyediakan makan tengah hari untuk dinikmati bersama-sama warga emas.-SAHIH.