FC Jerantut: Dari Akar Amatur ke Impian Liga Profesional
Foto : FC Jerantut menentang Abyss FC baru-baru ini.
FC Jerantut: Dari Akar Amatur ke Impian Liga Profesional
JERANTUT – FC Jerantut, kelab bola sepak yang mewakili daerah Jerantut, terus menampakkan kemajuan dalam arena bola sepak amatur Malaysia sambil mengukir cita-cita besar untuk menembusi liga profesional dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2021, kelab ini lahir daripada hasrat untuk memisahkan sukan bola sepak daripada pengaruh politik dan karenah birokrasi. Dengan membawa identiti tempatan yang utuh, logo FC Jerantut menampilkan unsur pokok dan sungai – simbolik kepada Jerantut sebagai pintu masuk ke Taman Negara.

FC Jerantut merakam kenangan di Padang Kompleks Belia dan Sukan Jerantut, baru-baru ini.
Presiden FC Jerantut, Ahmad Murad Idris berkata, struktur pengurusan kelab terbahagi kepada dua komponen utama iaitu pengurusan eksekutif dan pengurusan teknikal yang berfungsi secara profesional meskipun kelab masih berstatus amatur.
“Kami mahu mengurus kelab secara tersusun dan profesional, majoriti pemain adalah bakat tempatan yang kami kenal pasti menerusi sesi pemilihan terbuka dan perlawanan persahabatan. Akar kekuatan kami ialah anak muda Jerantut yang berjiwa besar.
“Sejak penubuhannya, FC Jerantut telah mencatat beberapa kejayaan membanggakan termasuk menjuarai Subang Football League 2021, Empire Booster League Genting 2023, serta mara ke separuh akhir Piala Sultan Pahang 2023,” katanya.
Katanya, saat paling dramatik ialah ketika kami tewas melalui sepakan penalti di separuh akhir Piala Sultan Pahang, setelah bangkit daripada ketinggalan dua gol. Namun, cabaran sebenar kami ialah dari sudut kewangan.
“Sebagai kelab amatur, FC Jerantut tidak menerima penajaan besar, kutipan tiket mahupun royalti siaran seperti kelab profesional. Kos operasi juga membebankan – termasuk RM40,000 untuk menyertai Subang Football League dan RM15,000 bagi saingan di Genting,” katanya.
Pengarah Teknikal, Safiuddin Shaifuddin, pula berkata kelab giat membina jaringan dengan syarikat komuniti tempatan dan menjalankan inisiatif jualan jersi serta barangan rasmi kelab bagi menampung kos.
“Kami menjadikan Kerteh FC sebagai model rujukan kejayaan kelab amatur dan menjalin hubungan baik dengan pengurusannya, terutama CEO mereka,” jelasnya.
“Kini, FC Jerantut sedang bersaing dalam Liga Amatur Pahang dan bertekad membina legasi yang kuat menerusi pencarian bakat serta kepimpinan baharu untuk memastikan kelab kekal relevan dalam jangka panjang,” katanya.
Katanya, impian kami adalah untuk melihat FC Jerantut beraksi dalam liga utama Malaysia dan mahu pemain-pemain kami menjadi rebutan kelab profesional, bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.-SAHIH.