Empat penunggang ‘superman’ di Temerloh tidak mengaku salah.
Foto atas : Tiga penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dan seorang pelajar sekolah menengah yang melakukan aksi ‘superman’ dengan menunggang secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Ahad lalu tidak mengaku salah di Mahkamah Temerloh, hari ini.
Empat penunggang ‘superman’ di Temerloh tidak mengaku salah.
TEMERLOH : Tiga penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dan seorang pelajar sekolah menengah yang melakukan aksi ‘superman’ dengan menunggang secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Ahad lalu tidak mengaku salah, hari ini.
Tiga tertuduh penuntut IPT, Ammar Muizzuddin Abdul Aziz, 19, Wan Muhammad Syahmi Wan Zulkififli, 20, dan Mohamad Haiqal Mohd Hanafi, 22 tahun tidak mengaku salah di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil di Mahkamah Temerloh.
Seorang lagi pesalah juvana adalah pelajar sebuah sekolah menengah di Temerloh berusia 15 tahun turut tidak mengaku salah.
Mengikut fakta pertuduhan, semua tertuduh didakwa menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
Kesalahan didakwa dilakukan kira-kira jam 6:30 petang, 24 Disember lalu di Kilometer 127 LPT1 arah timur, dekat sini.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda hingga RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar dan semua tertuduh diwakili Khairul Anuar Abu Hasan Ashaari.
Mahkamah menetapkan tiga penuntut IPT diikat jamin RM3,000 seorang dan pesalah juvana turut dikenakan ikat jamin sebanyak RM 1,500. Sebutan semula kes dan lantikan akan diadakan pada 6 Februari tahun depan.- SAHIH.