Durian yang ditanam arwah datuk 30 tahun lalu muncul juara durian DKP Jerantut
Foto : Che Noraizi Che Hat ( dua dari kiri ) menerima hadiah kemenangan daripada Pengarah Pertanian Negeri, Muhd Rizal Baharom (kiri sekali)
Durian yang ditanam arwah datuk 30 tahun lalu muncul juara durian DKP Jerantut
JERANTUT : Durian Bukit Kor berjaya menewaskan sepuluh jenis durian kampung lain yang menyertai pertandingan Durian Kampung Premium (DKP) peringkat daerah Jerantut yang diadakan di Pejabat Pertanian daerah hari ini.
Pemilik durian itu, Che Noraizi Che Hat (49) berkata, terkejut durian (Bukit Kor) yang ditanam oleh arwah datuk saudaranya yang dikenali Tok Lebai Awang kira-kira 30 tahun lalu dipilih juri sebagai durian terbaik.
“Pokok durian ini hanya ada sepokok sahaja dan setiap musim hanya berbuah kira-kira 300 biji durian dan hanya ada empat pangsa dan setiap pangsa hanya ada seulas sahaja.
“Kalau buah ini gugur ia boleh bertahan dan boleh dimakan dalam tempoh tiga hari, kebanyakan pengunjung datang makan durian di kebun saya menyatakan isinya tebal dan anjal, berwarna kekuningan, bertekstur lembut dan sedikit pahit yang memang disukai oleh penggemar durian kampung,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pertanian Negeri Pahang, Muhd Rizal Baharom berkata, pertandingan itu diadakan bertujuan bagi mendapatkan jenis durian kampung yang berkualiti.
“DKP yang berkualiti setimpal dengan harga di pasaran serta dapat menandingi durian klon yang ada di pasaran sekarang.
“Jabatan ini sentiasa mengadakan pertandingan mencari DKP bermutu di peringkat daerah dan negeri setiap tahun,” katanya ketika ditemui hari ini.
Selain itu, senarai pemenang yang menyertai pertandingn DKP yang diadakan, Durian Bukit Kor milik Che Noraizi Che Hat telah muncul juara; tempat kedua, Durian Tupai Keliling milik Ramli Mustapha dari Kg Chengkuak; ketiga, Durian Bongkok Jinggau (Ismail Nazri Yusof) dari Kg Jinggau, Ulu Cheka; ke-4, Durian Puteri Emas (Zaharah Osman) dari Kg Tanjung Puteri dan kelima, Durian LB Premium ( Rahmat Hidayat Yusoff) dari Kg Tanjung Puteri. -SAHIH.