Dua sukarelawan antarabangsa sertai Program CSR di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia
Foto : Aubree dan Soyi Park bersama-sama rakan senegara merakamkan kenangan bersama warga emas PJMM selepas mengadakan persembahan kebudayaan negara China dan Korea.
Dua sukarelawan antarabangsa sertai Program CSR di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia
SEMENYIH – Malaysian Relief Agency (MRA) dengan kerjasama AIESEC Taylor’s University membuka lembaran baharu dalam bidang kesukarelawanan apabila menempatkan dua sukarelawan antarabangsa di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor.
Penempatan dua sukarelawan dari China dan Korea Selatan ini merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan memperluaskan fungsi PJMM bukan sekadar sebagai pusat penjagaan warga emas, tetapi juga sebagai pusat pembelajaran dan pembangunan profesional dalam bidang penjagaan kebajikan.
Sukarelawan yang terlibat ialah Aubree, pelajar dari Universiti Zhengzhou, China, dan Soyi Park, pelajar dari Universiti Keio, Korea Selatan. Mereka akan menjalani penempatan selama enam minggu bermula akhir Januari 2025.

Soyi Park dan Aubree membantu menyediakan makan tengah hari untuk warga emas
Menurut Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, pihak pengurusan amat mengalu-alukan kehadiran dua pelajar antarabangsa itu dan menyifatkannya sebagai satu anjakan paradigma dalam dunia kebajikan dan kesukarelawanan di negara ini.
“Pembabitan pelajar luar negara dalam kerja-kerja sukarela secara menetap memberi peluang kepada masyarakat luar memahami secara lebih mendalam sistem penjagaan warga emas di Malaysia,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa inisiatif ini membuka ruang kepada kolaborasi strategik bersama kementerian-kementerian berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pelancongan.
Sepanjang berada di PJMM, kedua-dua sukarelawan didedahkan kepada pelbagai aktiviti seperti membantu penyediaan makanan, pengurusan kebersihan, penjagaan harian warga emas serta pelaksanaan aktiviti riadah dan hiburan.
sukarelawan dari Korea Selatan Soyi Park menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sangat berharga dan pada awalnya beranggapan warga emas di Malaysia berbeza dengan di negaranya, namun selepas beberapa minggu bersama mereka, beliau mendapati terdapat banyak persamaan dari segi sikap dan keperluan emosi.
“Saya sangat gembira melihat warga emas menikmati persembahan budaya Korea yang kami bawakan. Mereka sangat menghargainya walaupun ada halangan bahasa,” katanya.
Seorang lagi sukarelawan dari China, Aubree pula melahirkan kekaguman terhadap sistem pengurusan PJMM yang beroperasi sepenuhnya atas dasar kebajikan tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada penghuni.
“Di negara saya, pusat jagaan memerlukan bayaran tinggi, tetapi di sini mereka menguruskan semuanya dengan sumbangan dan dana komuniti. Ini sangat mengagumkan,” katanya.
Beliau juga berkongsi pengalaman budaya yang unik seperti warga emas di Malaysia yang mengambil minuman berais dan makanan bergoreng, yang menurutnya berbeza dengan amalan di China yang lebih menekankan diet panas untuk golongan tua.
Muhammad Syafiq turut menegaskan bahawa kolaborasi ini bukan sekadar CSR biasa, tetapi langkah awal untuk menduniakan PJMM sebagai pusat rujukan profesional dalam penjagaan warga emas. Beliau berharap lebih banyak institusi pendidikan, NGO dan agensi kerajaan akan mengambil peluang serupa dalam memartabatkan bidang kebajikan di Malaysia.-SAHIH.