Dua remaja mati lemas akan dikebumikan dalam satu liang lahat
Foto atas : Kawasan kejadian di Sungai Putat, padang Piol, dekat sini yang meragut dua nyawa remaja berusia 13 tahun.
Dua remaja mati lemas akan dikebumikan dalam satu liang lahat
JERANTUT – Dua rakan karib yang ditemui mati lemas di Sungai Putat, Padang Piol dekat sini pada jam 5.40 petang semalam dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Putat sejurus keputusan bedahsiasat diperolehi di Unit Forensik, Hospital Jerantut, hari ini.
Dua remaja tersebut berusia 13 tahun itu, Mohamad Hanapi Romzi dan Muhamad Safwan Mohamad Zamri, masing-masing dari Kampung Sungai Putat dan Kampung Kelantan dekat sini ditemui lemas selepas mandi bersama 5 lagi rakannya.
Bapa Muhammad Safwan, Zamri Shamsuddin (47) berkata, anaknya tidak memaklumkan kepadanya rancangan untuk mandi bersama rakannya pada pagi semalam.
“Arwah Safwan tidak mengambil sarapan pagi semalam dan tidak memberi makluman perancangannya bersama rakannya yang lain untuk mandi dan kali terakhir saya menatap wajah anak saya ketika makan malam di rumah sebelum kejadian.
“Saya dimaklumkan kira-kira jam 11.00 pagi anak saya dan kawan-kawannya telah menghala ke kawasan kejadian dengan menaiki motosikal melalui jalan ladang sawit yang jaraknya kira-kira 10 kilometer dari rumah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Jerantut, hari ini.
Katanya kira-kira jam 2.00 petang, salah seorang rakan anaknya datang ke rumah untuk mengetahui Mohd Safwan sudah balik atau belum dari mandi di sungai.
“Sejurus dimaklumkan oleh rakan anak saya, saya terus ke tepi sungai dan hanya menemui selipar dan baju anak saya dan kawannya masih berada di tepi sungai.
“Saya terus mencari di kawasan sekitar di tepi sungai tetapi tidak menemui sebarang tanda sambil memaklumkan kepada bapa Mohamad Hanapi serta beberapa kenalan di kampung,” katanya.
Manakala, bapa mangsa, Mohamad Hanapi Romzi , Romzi Mat Jusoh (45) berkata, anaknya Mohamad Hanapi telah membantunya sehari sebelum kejadian dengan melakukan kerja membaja pokok sawit yang sering dia lakukan untuk mendapatkan wang saku.
“Anak saya telah berkira-kira pendapatannya membantu saya pada malam sebelum kejadian dan menyatakan hasratnya wang itu akan digunakan untuk perbelanjaan persekolahan yang bakal dibuka Isnin depan.
“Saya juga terkilan kerana telah berjanji dan tidak sempat belanja makan malam bersama anak saya di sebuah kedai makan di Felda Padang Piol sambil untuk membayar ‘gajinya’ kerana membantu saya di ladang,” katanya.
Katanya, dia berterima kasih kepada penduduk kampung bersama anggota polis dan bomba telah melakukan operasi pencarian di kawasan kejadian. Mayat kedua-dua remaja ditemui pada jam 5.40 petang semalam.- – SAHIH.