Dua NGO agih 250 Al-Quran
Foto atas – Aktivis masyarakat di Kuantan, Pahang, Anas Nazhar (kiri) menyampaikan naskhah al-Quran yang diinfak menerusi NGO PJMM dan PJNH kepada wakil pusat tahfiz di Kuantan, baru-baru ini.
KUANTAN – Infak al-Quran yang dikelolakan oleh Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor mengagihkan 250 naskhah al-Quran yang diinfak pelbagai pihak untuk masjid, tahfiz, pondok ngaji serta individu di Kuantan, baru-baru ini.
Agihan infak al-Quran itu mendapat kerjasama beberapa aktivis masyarakat di Pahang yang menghantar secara berperingkat-peringkat ke lokasi terbabit seperti sekitar Kuantan, pedalaman Sungai Lembing, Pekan, Penor dan sebagainya.
Aktivis masyarakat di Kuantan, Anas Nazhar, berkata al-Quran diagihkan kepada kelas pondok ngaji diadakan di atas wakaf atau gazebo membabitkan pelajarnya dalam kalangan remaja dan warga emas, diberi bimbangan membaca al-Quran dengan tajwid yang betul dan bertadabbur.
Katanya, kelas pondok ngaji itu yang terdapat sekitar Kuantan mampu menarik dalam kalangan remaja khususnya untuk mendalami ilmu mengaji al-Quran yang secara tidak langsung meningkatkan budaya membaca dan mencintai al-Quran.
“Dalam kalangan warga emas pula memberi peluang kepada mereka meningkatkan lagi kemahiran membaca al-Quran dengan menghayati serta mentadabbur yang dibimbing guru al-Quran bertauliah bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat.
“Apabila mendapat al-Quran baharu yang diinfak ini memberi semangat kepada remaja terbabit untuk lebih tekun mendalami ilmu al-Quran manakala bagi warga emas peluang mengulang kaji semula kefahaman mereka yang mungkin sudah mahir mengaji sebelum ini,” katanya yang juga sukarelawan aktif dalam program agama pada majlis ringkas penyerahan infak al-Quran NGO terbabit.
Anas berkata, infak al-Quran dikelolakan oleh dua NGO itu yang diberikan kepada individu juga suatu yang menarik kerana jarang dilakukan sebaliknya apabila diagihkan kepada penduduk sekitar Kuantan kebanyakan mereka berasa amat teruja.
Katanya, penduduk menerima infak al-Quran itu berasa bertuah kerana mereka mendapat perhatian daripada penginfak yang diamanahkan NGO terbabit dalam usaha menggalakkan orang ramai amalan serta mendalami ilmu membaca al-Quran.
Sementara itu, Guru Kelas Ngaji, Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Bedah Ahmad sudah memanfaatkan infak 20 naskhah al-Quran oleh NGO terbabit pada Februari lalu, dalam kelas tadarusnya yang adakan sepanjang Ramadan.
Hampir keseluruhan warga emas yang menyertai kelas tadarus berkenaan menggunakan naskhah al-Quran baharu yang diinfak itu bagi menggantikan al-Quran lama yang rosak digenangi banjir tiga bulan lalu. -SAHIH