Dua kereta nyaris dihanyutkan arus deras di Kuala Tahan
Dua kereta nyaris dihanyutkan arus deras di Kuala Tahan
JERANTUT – Dua kereta yang disewa pelancong asing dan diparkir berhampiran restoran terapung di Kuala Tahan nyaris dihanyutkan arus deras dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam semalam.
Penduduk tempatan, Roslan Abu Kasim, 55 tahun, berkata kejadian disedari orang ramai apabila paras air Sungai Tembeling meningkat mendadak susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
“Air naik sehingga mencecah bibir jalan berhampiran restoran terapung dan mula melimpah ke atas jalan.
”Keadaan semakin membimbangkan apabila kenderaan berkenaan mula ditenggelami air kira-kira 0.3 meter,” katanya.
Menurutnya, penduduk segera menghubungi pihak pengurusan hotel sebelum berjaya mengesan penyewa kenderaan terbabit untuk mengalihkannya ke kawasan lebih selamat.
Beberapa penduduk kemudian membantu menolak kenderaan itu sebelum penyewa tiba dan memindahkannya ke parkir selamat kira-kira jam 3 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Mohd Azahari Mukhtar, mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kedua-dua kenderaan berjaya dialihkan tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Kenderaan terlibat ialah sebuah Proton Saga berwarna perak dan sebuah Honda. Pemilik resort telah menghubungi pemilik kenderaan dan tindakan segera diambil untuk memindahkannya,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai, khususnya pengunjung yang menginap di kawasan seberang Kuala Tahan, supaya memastikan kenderaan diparkir di lokasi lebih tinggi dan selamat ketika musim hujan bagi mengelakkan risiko dihanyutkan arus deras.- SAHIH.
