Dua kenderaan rosak langgar dapur gas atas jalan LPT1
Foto atas ; Sebuah kereta yang mengalami kerosakan setelah melanggar dapur gas yang berada di atas jalan di LPT1.
Dua kenderaan rosak langgar dapur gas atas jalan LPT1
TEMERLOH : Dua buah kenderaan mengalami kerosakan apabila melanggar dapur gas yang berada di atas jalan dalam kejadian di Kilometer 116.7, Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) menghala ke Kuantan yang berlaku pada jam 11.00 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Polis (ACP) , Mazlan Hassan berkata, pemandu dua buah kenderaan berusia 30 dan 38 tahun dalam perjalanan menuju ke Kuantan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan akibat perlanggaran objek itu.
“Ketika tiba di tempat kejadian, pemandu kenderaan yang di hadapan, iaitu Toyota Vios tidak sempat menggelak dan terus melanggar dapur gas itu .
“Manakala pemandu Honda Civic yang berada di belakang turut terlanggar dapur gas tersebut sehingga objek itu terpelanting ke lorong kecemasan. Bagaimapaun tiada sebarang kejadian kecederaan dilaporkan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini hari ini.
Katanya, pengendali LPT1, ANIH Berhad telah dimaklumkan mengenai aduan yang dibuat oleh kedua-dua pemandu tersebut.
“Kereta Toyota Vios mengalami kerosakan, iaitu pecah bahagian bumper depan, bonet depan, lampu depan, cermin besar termasuk beg udara, manakala kereta Honda Civic dilaporkan mengalami kerosakan yang sama iaitu pecah di bahagian bumper depan dan lampu hadapan.
“Difahamkan sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kejadian yang sama, tetapi pihak polis sehingga ini belum menerima laporan mangsa ketiga,” katanya.
Katanya, pengguna di LPT1 diharap mematuhi peraturan had laju dan memperlahan kenderaan khususnya waktu malam, kelajuan yang rendah memungkinkan objek yang berada di atas jalan raya dapat dilihat seterusnya dapat mengawal kenderaan.
“Pengguna dan pengendali membawa muatan diminta memastikan mengikat barangan dengan kemas agar tidak terjatuh ke atas jalan raya yang boleh membahayakan nyawa manusia termasuk harta benda, iaitu membabitkan kerosakan kenderaan,” katanya.- SAHIH.