Dua anggota polis bantuan terselamat daripada dirempuh sebuah treler
Dua anggota polis bantuan terselamat daripada dirempuh sebuah treler
LIPIS – Dua anggota polis bantuan terselamat apabila sebuah treler yang hilang kawalan merempuh sebuah Pos Kawalan Polis Bantuan Felda dalam kejadian di Kilometer 5, Jalan Bandar Baru – Felda Kechau, dekat sini, pada jam 9.50 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail bin Man berkata, dalam kejadian itu turut melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta yang diletakkan berdekatan pos berkaitan.

Treler yang merempuh Pos Kawalan Polis Bantuan Felda dalam kejadian di Kilometer 5, Jalan Bandar Baru – Felda Kechau, dekat sini, pada jam 9.50 pagi ini.
“Treler tanpa muatan itu yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dari arah Sungai Temau menuju ke Kuantan, dipercayai hilang kawalan ketika melalui lokasi kejadian.
“Lori tersebut kemudian merempuh Pos Kawalan Polis Bantuan Felda Kechau 8 serta sebuah kereta yang diletakkan berhampiran dan rempuhan turut menyebabkan atap dan dinding pos kawalan itu menghempap sebuah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu lori treler, berusia 28 tahun dan pemilik motosikal motosikal, berusia 23 mengalami cedera dan dirawat di Hospital Kuala Lipis, manakala pemilik kereta berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya-SAHIH.