Dapur terbakar di Taman Inderapura berjaya dikawal
Foto : keadaan bahagian dapur sebuah rumah teres di Jalan Inderapura 16, Jerantut
Dapur terbakar di Taman Inderapura berjaya dikawal
Jerantut – Sebuah kejadian kebakaran melibatkan bahagian dapur sebuah rumah teres di Jalan Inderapura 16, Taman Inderapura di sini awal pagi tadi berjaya dikawal sepenuhnya oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut tanpa melibatkan sebarang mangsa.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Pahang menerima panggilan kecemasan pada jam 2.22 pagi dan sebuah jentera dari BBP Jerantut bersama enam anggota telah dikejarkan ke lokasi sejauh 4 kilometer.
Katanya. Pasukan BBP tiba di tempat kejadian pada jam 2.28 pagi dan segera menjalankan operasi pemadaman.
“Menurut Komander Operasi, Shuaimi Muhamad, kebakaran melibatkan dapur memasak, kabinet dan sebahagian siling dapur, api berjaya dikawal pada jam 2.52 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.00 pagi.
“Pasukan telah menggunakan satu aliran hos salur bantu mula dengan sumber air dari tangki pam jentera bagi memadamkan kebakaran. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Kebakaran dianggarkan melibatkan kemusnahan sebanyak lima peratus pada struktur rumah,” katanya.
Kejadian ini sekali lagi mengingatkan orang ramai tentang pentingnya langkah keselamatan kebakaran terutama di kawasan dapur rumah, terutamanya semasa menggunakan peralatan memasak.
Pihak JBPM menasihatkan orang awam agar sentiasa memastikan peralatan elektrik dan dapur dimatikan selepas digunakan, serta memasang alat pengesan asap sebagai langkah awal keselamatan.-SAHIH.