Calon Ketua Bahagian Jerantut jangan tohmahnya proksi kepada penyandang
Calon Ketua Bahagian Jerantut jangan tohmahnya proksi kepada penyandang
JERANTUT – Calon Ketua Bahagian Umno Jerantut, Haris Salleh Hamzah berharap ahli Umno jangan meletakkan tohmahan kepadanya sebagai proksi kepada penyandang Ketua Umno Bahagian Jerantut dalam pemilihan bagi sesi 2023-2026.
Katanya, pemilihan kali ini adalah satu persaingan sihat di kalangan 3 lagi calon setelah penyandangnya Datuk Nazri Ngah tidak mempertahankan jawatannya.
“Saya sangkal tohmahan ini, saya bukan proksi mana-mana individu, walaupun dikaitkan dengan Datuk Nazri (Ngah), ini semua cakap-cakap kosong yang hanya berlegar di meja kedai kopi dan semua orang boleh bercakap berkaitan menjelang pemilihan pada 18 Mac ini.
“Perkara ini muncul kerana mungkin terlalu bersemangat berkempen maka isu berkenaan dijadikan bahan modal untuk memberi tekanan kepada saya semasa berkempen sekali gus mahu mencalar langkah kempen saya menjelang hari pemilihan nanti,” katanya di sini.
Katanya, perkara proksi ini tidak timbul kerana penyandang Ketua Bahagian mengumumkan sendiri hendak berehat dalam arena politik lalu menyerahkan kepada orang muda untuk mentadbir parti supaya boleh diterima rakyat khususnya golongan muda.
‘Sebenarnya, sebelum mengumumkan pencalonan, saya bertemu Datuk Nazri untuk bertanding, tetapi bukan mahu beliau menjadi proksi saya dalam pemilihan nanti.
“Beliau menyokong dan memberi galakan kepada saya bertanding Ketua Bahagian bukanlah bermaksud saya sebagai proksi, ini direka oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan reputasi atau maruah saya di samping bagi kepentingan pihak tertentu,” katanya.
Haris Salleh yang juga seorang peguam berasa kecewa kerana isu proksi dilihat hanya serangan bertalu-talu terhadap dirinya sahaja sedangkan calon lain yang menawarkan diri bertanding juga berada dalam saf kepimpinan UMNO Bahagian Jerantut kenapa tidak dilabel sebagai proksi Nazri.
Calon lain yang turut bertanding jawatan yang sama, Adzlan Zakaria, Mohd Taufek Tan Seri Abdul Razak dan Ahmad Murad Idris.
Manakala persaingan lima penjuru calon Timbalan Ketua Umno Bahagian Jerantut, menampil Datuk Zukarmi Abu Bakar, Datuk Rozilan Salleh, Nazri Mahmud, Ahmad Shah Jamlus dan Datuk Wan Zamzuri Wan Hasenan. – SAHIH.