Buah Kulim atau bawang hutan
Buah Kulim atau bawang hutan
Apakah khasiat buah kulim pada kesihatan? Artikel ini membincangkan beberapa khasiat buah kulim, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya.
Pengenalan
kulim atau nama saintifiknya Scorodocarpus borneensis (Baill.) Becc. merupakan sejenis buah yang berasal dari keluarga Olacaceae dan buah ini turut dikenali sebagai bawang hutan.
Ketinggian pokok kulim ini boleh mencecah sehingga 40 meter dan boleh ditemui tumbuh secara semulajadi di negara Thailand, Malaysia dan Indonesia.
Buah kulim mempunyai bentuk seakan-akan telur ataupun pear dan mempunyai diameter antara 3.5 cm.
Kandungan Nutrisi
Bagi kandungan nutrisi yang terdapat di dalam buah kulim, kurang kajian yang menyatakan dengan dengan spesifik kandungan makronutrisi dan mikronutrisi yang terdapat di dalamnya. Namun terdapat satu kajian yang dijalankan oleh Jabatan Agrikultur dan Sains Makanan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak yang menyatakan kandungan mikronutrisi yang terkandung di dalamnya daun pokok kulim. Ia adalah:
- Kalium: 918.8mg
- Kalsium: 241.41mg
- Fosforus: 343.86mg
- Magnesium: 91.1mg
- Ferum: 2.67mg
- Zink: 1.41mg
Komponen Berkhasiat
Antara contoh fitokimia yang terdapat di pada pokok buah kulim adalah flavonoid, tanin, glycoside cyanogenetic, asid lemak polyacetylene dan bahan polisulfida.
Selain itu, buah kulim turut terkenal dengan kandungan sulfurnya yang dapat mencegah aktivit organisma vektor dan menghalang agregrasi platelet. Ekstrak metanolik kulit pokok, daun dan buah pokok kulim turut mempunyai komponen yang bersifat antibakteria.
10 Khasiat Buah Kulim Kepada Kesihatan
Kajian terhadap keberkesanan buah kulim ini masih kurang dan masih memerlukan kajian lanjut. Berikut merupakan antara kebaikan buah kulim dan pokoknya yang ditemui berkhasiat terhadap kesihatan.
1. Bersifat antioksida
Tekanan oksida sering kali disebabkan oleh radikal bebas dan boleh menyebabkan kerosakkan pada sel. Antioksida adalah salah satu komponen yang dapat mencegah tindak balas tekanan oksida daripada berlaku.
Aktiviti anti oksida ditemui paling tinggi pada bahagian daun, diikuti kulit batang dan buah kulim. Kajian turut menemui bahawa kesemua ekstrak metanoliknya mempunyai sifat antioksida.
2. Bersifat antimikrob
Selain bersifat antioksida, bahagian pokok kulim turut ditemui mempunyai sifat antimikrob di mana ianya ekstrak metanolnya juga turut ditemui memainkan peranan yang penting di dalam mencegah aktivit bakteria MRSA. Ianya turut dapat menyekat perkembangan Salmonella typhi dan Candida albicans.
3. Merawat ketidakhadaman
Ketidakhadaman ditafsirkan sebagai ketidakselesaan atau merasa sakit pada bahagian atas abdomen dan sering terjadi selepas makan atau minum. Antara simptom ketidakhadaman adalah merasa kembung perut. Secara tradisionalnya, buah kulim sering digunakan untuk merawat ketidakhadaman dan ketidakselesaan.
4. Menambahkan rasa dalam masakan
Pada zaman kini, jarang sekali untuk kita menemui penggunaan buah kulim secara meluas. Tahukah anda bahawa buah kulim turut digunakan di dalam masakan untuk menggantikan rasa bawang putih? Antara bahagian yang digunakan untuk fungsi ini adalah biji buah kulim.
5. Dijadikan ulam-ulam
Selain dijadikan perasa di dalam masakan, bahagian daun turut dikatakan diambil sebagai ulam-ulaman. Selain itu, daunnya turut ditambahkan ke dalam masakan di mana ianya di dipotong, dibasuh dan dimasak bersama pes udang.
6. Bersifat anti vektor
Vektor adalah agen yang memindahkan atau membawa mana-mana patogen berjangkit ke dalam organisma hidup yang lain. Kandungan sulfur di dalam pokok buah kulim yang tinggi dikatakan dapat mencegah aktiviti vektor seperti nyamuk malaria.
7. Merawat demam
Antara kegunaan buah kulim secara tradisional yang lain adalah dapat merawat demam. Dipercayai bahawa air rebusan akar pokok buah kulim dapat digunakan untuk menurunkan suhu badan dan merawat demam.
8. Mengelakkan kembung perut bayi
Kembung perut dikalangan bayi bukanlah sesuatu yang asing lagi terutamanya bagi bayi yang berusia kurang dari 6 bulan. Kajian yang dijalankan di Indonesia menyatakan bahawa buah kulim digunakan secara tradisional untuk mengelakkan kejadian kembung perut di kalangan bayi. Caranya adalah dengan membaluti perut bayi dengah buah kulim yang digiling dan dicampurkan dengan air.
9. Menghalang agregrasi platelet
Apakah itu agregrasi platelet? Agregrasi platelet adalah kemampuan darah untuk membeku atau bergumpal. Proses ini adalah penting terutamanya di dalam perawatan dan pemulihan luka namun keadaan hiperagregrasi atau darah yang mudah bergumpal dapat membahayakan kesihatan. Satu kajian terhadap haiwan mendapati bahawa kandungan sulfur di dalam buah kulim dapat menghalang agregrasi platelet.
10. Mencegah pembiakkan kulat
Kajian telah mencatatkan bahawa kandungan methylthiomethyl disulfie I dan methylthiomethyl disulfie II yang berpotensi untuk mencegah pembiakkan kulat.
Konklusinya, terdapat kurang kajian yang dijalankan berkaitan buah kulim untuk menyimpulkan kebaikan yang ditawarkan oleh buah ini. Sesetengah kajian yang dinyatakan diatas mungkin memerlukan kajian sokongan yang lain untuk menyokong kajian tersebut.-SAHIH.
Sumber : Rootofscience.com