Bot nelayan tempatan ditahan langgar syarat lesen
Bot nelayan tempatan ditahan langgar syarat lesen
KUANTAN : Sebuah bot nelayan tempatan Kelas A ditahan pada jarak kira-kira 7 batu nautika dari Kuala Endau, Rompin, pada jam 3.40 petang, hari ini.
Bot itu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang kerana mendapati sedang bersauh dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Kamal Ariffin Jusoh berkata, semasa rondaan Op Makmur, Maritim Malaysia sedang menjalankan rutin pemeriksaan di setiap bot nelayan di perairan Pahang.
“Seterusnya bot tersebut diperiksa dan hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong warga Laos berusia 37 tahun dan tiada awak-awak di atas bot serta tidak mempunyai sebarang permit kerja yang sah.
“Selain itu, bot tersebut turut diubahsuai tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia kerana jenama enjin yang dgunakan tidak seperti yang didaftarkan di dalam buku lesen,” katanya kepada media, hari ini.
Katanya, pemilik bot juga didapati melanggar syarat sah lesen kerana bot nelayan kelas A perlu diusahakan sendiri dan tidak dibenarkan menggajikan warga asing dan ketika pemeriksaan bot tiada hasil laut dan peralatan menangkap ikan dijumpai di atas bot itu.
“Tekong dan bot terbabit dibawa ke jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah,” katanya.
Katanya, diingatkan komuniti maritim di perairan Pahang khasnya supaya menjauhi sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap perlanggaran yang menyalahi undang-undang serta akan terus membuat rondaan dan pemantauan bagi memastikan perairan negeri Pahang aman dan sejahtera.
“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya.- SAHIH.