Bekas pelajar SMK Padang Saujana bertemu semula
Foto : Bekas pelajar bergambar kenangan di hadapan bekas sekolah mereka
JERANTUT – Setelah hampir 40 tahun selepas bersekolah, tiga belas bekas murid Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Saujana, Jerantut menjengah semula ke sekolah lama mereka di sini selepas 40 tahun, semalam.
Bekas ketua murid sekolah itu, Rokiah Mat (61) berkata, kami semua kaum ibu berpakat untuk menjengah sekolah lama mereka selain menziarah sahabat zaman persekolahan pada tahun 1982.
“Saya datang ke Jerantut dari Bahau menaiki tren untuk menghadiri majlis pertemuan dengan sahabat lama.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Saujana, semalam.
“Saya teruja untuk ke Jerantut, apabila saya berada di dalam tren menuju ke sini dan tidak sabar bertemu rakan dan pergi semula ke sekolah kami belajar dahulu yang ditinggalkan sejak berusia 18 tahun,” katanya.
Katanya, setelah berpindah ke Bahau, hampir 40 tahun tidak menjejak kaki ke bandar itu, dia terkejut dengan pembangunan pesat.
“Pengalaman kali pertama menaiki tren dari Bahau ke Jerantut, saya dapat melihat permandangan kehijuan sepanjang perjalanan dengan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang moden.
“Selain itu, saya sangat terkejut, bandar Jerantut yang ditinggalkan kira-kira 40 tahun lalu, sangat membangun, malah tempat (spot) saya bersama kawan-kawan zaman itu sudah tiada lagi,” katanya.
Katanya, tempat dia dan rakan lain ‘melepak’ dalam perjalanan balik dari sekolah , seperti pondok Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di bandar lama Jerantut sudah tiada dan kini terdapat menara jam.
Bekas pelajar sekolah yang tinggal di Cheras, Norlidza Osman (61), ketika mengetahui program itu akan diadakan, dia terus menghubungi rakan lama yang sama bersekolah dan tinggal di ibukota untuk menghadiri pertemuan itu.
“Apabila saya mencetuskan hasrat untuk mengadakan pertemuan ini di Jerantut, ramai sahabat menyambut baik hasrat ini dan ada yang datang dari Kuala Lumpur.
“Malah sahabat yang tinggal di Temerloh turut serta, sedihnya seorang sahabat yang tinggal di Kedah tidak dapat hadir di saat akhir,” katanya
Katanya, selain melawat sekolah tempat belajar, sempat merakamkan gambar kenangan, selain itu, mereka meraikan sambutan hari jadi dan persaraan.
“Kami juga sempat menziarah isteri kepada Allahyarham ustaz yang pernah mengajar kami di sini.
“Program pertemuan secara kecilan ini memang khas untuk kaum ibu sahaja, kemudian kami merangka akan mengadakan pertemuan yang ramai termasuk bekas pelajar lelaki,” katanya.
Pelajar sekolah yang sama, Bahriah Ramli berkata sangat gembira bertemu rakan sekolah lama yang lama tidak bertemu.
“Menariknya, pertemuan yang dirangka dalam waktu yang singkat menjadi kenyataan dan berjalan lancar,” katanya – SAHIH.