Bekas Kakitangan NSTP : Jaga kesihatan dan menabung awal untuk tunai haji.
Foto : Yaacob (dua dari kanan) sedang berehat bersama jemaah lain.
Bekas Kakitangan NSTP : Jaga kesihatan dan menabung awal untuk tunai haji.
KUALA LUMPUR – “Jaga kesihatan dan mula menabung dari awal jika berhasrat menunaikan fardu haji,” demikian nasihat bekas kakitangan The New Straits Times Press (NSTP) Malaysia Berhad, Yaacob Bador, 79, yang baru-baru ini selesai menunaikan ibadah haji bersama isterinya.

Yaacob Bador
Menurut Yaacob, sejak bersara pada tahun 2001, beliau tidak hanya duduk diam, malah terus berusaha melakukan beberapa kerja sampingan ringan bagi menambah simpanan demi merealisasikan impian menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Kerja sampingan yang saya lakukan tidaklah berat, tetapi cukup untuk membantu menambah tabungan yang saya mulakan sejak bekerja dengan NSTP pada tahun 1980.
“Kos menunaikan ibadah haji yang semakin meningkat menjadikan perancangan kewangan amat penting, lebih-lebih lagi bagi golongan pesara,” katanya ketika ditemui.
Katanya, dia bersyukur, berkat usaha, simpanan dan sumbangan anak-anak serta cucu, dia dan isteri akhirnya dipilih menjadi tetamu Allah dan amat terharu dan menitis air mata apabila sampai ke Dufurrahman.
Yaacob juga berkongsi bahawa beliau pernah ditawarkan untuk menunaikan haji ketika masih berkhidmat di NSTP sebagai penghargaan, namun terpaksa menolak kerana kekangan keluarga.
“Saya terus berdoa agar suatu hari nanti tetap diberikan peluang. Yang penting, saya minta Allah beri saya kekuatan dan kesihatan kerana itulah yang paling utama ketika di Mekah.
“Sepanjang berada di tanah suci, saya dan isterinya berada dalam keadaan sihat dan dapat menunaikan semua rukun serta wajib haji dengan sempurna, hasil persiapan melalui kursus haji yang dihadiri sebelum berangkat,”katanya.
Katanya, dia bersyukur dapat berkongsi bilik dengan jemaah yang baik serta mendapat layanan sempurna daripada petugas Tabung Haji yang sangat cekap dan berdedikasi.
“Sebagai pesanan kepada orang ramai, persiapan rohani, jasmani dan kewangan perlu dilakukan dari awal agar ibadah dapat dilaksanakan dengan tenang dan sempurna,” katanya.-SAHIH.