Bekalkan Semula Komputer Riba kepada Guru, Perkasa Pengajaran ICT dan AI
Bekalkan Semula Komputer Riba kepada Guru, Perkasa Pengajaran ICT dan AI
JERANTUT: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyalurkan semula pemberian komputer riba percuma kepada guru bagi memperkukuh pengajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kecerdasan buatan (AI) di sekolah.
Presidennya, Mohd Sobri Yusuf, berkata langkah itu penting untuk mempertingkat keupayaan guru menghadapi perkembangan pesat pendidikan digital dan keperluan masa depan.
“Inisiatif ini pernah dilaksanakan pada 2003 ketika pelaksanaan PPSMI, namun dihentikan pada 2012. Kami mencadangkan supaya ia diteruskan semula kerana terbukti membantu guru melaksanakan PdP dengan lebih berkesan.
”Komputer riba kini bukan lagi kemewahan tetapi keperluan asas bagi guru untuk mengakses platform pembelajaran AI, menyediakan bahan interaktif dan melatih pelajar dengan kemahiran abad ke-21,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Sobri turut mencadangkan supaya sebahagian peruntukan RM66.2 bilion Belanjawan 2026 digunakan untuk memperluas kemudahan ICT di sekolah, termasuk membangunkan bilik darjah digital yang lebih kondusif.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM), Jemale Paiman, mencadangkan kerajaan memberi insentif khas kepada guru yang mengikuti latihan atau memperoleh pensijilan profesional dalam bidang ICT dan AI sebagai galakan meningkatkan kemahiran diri.
Beliau turut mencadangkan supaya pelajar lemah akademik diberi peluang mengikuti kelas kemahiran asas seperti pertanian, kulinari dan pertukangan, selain memperkukuh kerjasama dengan Giat MARA, Kolej Komuniti dan Kolej Vokasional bagi memastikan kurikulum kemahiran kekal relevan dan berimpak tinggi.-SAHIH.