Bekalan ikan patin tidak mencukupi di Jerantut
Bekalan ikan patin tidak mencukupi di Jerantut
JERANTUT – Bekalan ikan patin sangkar sebagai bahan utama gulai masam tempoyak yang popular di daerah ini tidak mencukupi di sini.
Ketika ditemui, Bahriah Ramli di sebuah gerai menjual ikan sangkar di Kampung Jerantut Feri tidak mendapat bekalan untuk menjamu adik-beradiknya yang balik bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina.
“Saya telah pergi ke Pasar Besar Jerantut untuk mendapatkan bekalan, ada lima penjual tetapi dimaklumkan bekalan ikan tidak mencukupi.
‘Saya bergegas ke kawasan gerai penjual ikan sangkar di Jerantut Feri, bekalan tiada, yang ada ikan tilapia sahaja,” katanya.
Seorang pembeli dari Subang, Selangor yang balik ke Jerantut untuk bercuti, Rosman Mat Jidin berkata, dia hanya mendapat ikan patin bersaiz kecil kira-kira 600 gram.
“Ikan kecil kurang sedap dibuat gulai masam tempoyak kerana isinya kurang lemak, lemak ikan patin itulah antara yang menyedapkan lagi juadah ini, tetapi saya beli juga sebab sudah lama tak makan gulai masam ikan patin Jerantut,” katanya.
Seorang penjual ikan sangkar di gerai Kampung Jerantut Feri, Mohd Ali Mat Isa (48) ketika ditemui berkata sejak awal Januari tahun ini bekalan sangat kurang.
“Kekurangan bekalan ikan patin dipercayai faktor antaranya air yang tersangat keruh mengakibatkan banyak benih ikan mati sebelum boleh dituai.
“Saya juga ada sangkar peliharaan ikan ini, setiap sangkar dimasukkan kira-kira 2,000 benih ikan bersaiz kira-kira 5 sentimeter (sm) hingga 7 sm, tetapi yang hidup kira-kira 700 ekor sahaja,” katanya ketika ditemui, hari ini
Seorang pembekal ikan sangkar, Mohd Hafiz Salbi (29) berkata, kira-kira 70 penternak ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang yang terletak di Kampung Perias dan Kampung Jerantut Feri mengalami perkara yang sama.
“Hanya benih yang hidup antara 500 ekor hingga 700 ekor sahaja, dipercayai masalah air sungai yang tidak sesuai.
“Kekurangan bekalan sejak awal Disember lalu bakal berterusan kalau keadaan ikan mati berterusan, kalau ada bekalan saya terpaksa mengagihan dan mencatu kepada penjual ikan agar pembeli tidak kecewa,” katanya ketika menghantar bekalan ikan patin, hari ini.
Katanya, sekarang harga makanan ikan semakin mahal, RM 84 untuk 20 kilogram sekampit, berbanding sebelum ini kira-kira RM58.
“Manakala benih ikan patin sangkar, antara 25 sen hingga 30 sen seekor, sekarang berharga 40 hingga 45 sen seekor,” katanya.-SAHIH.