‘Beach Boy Street’ tarikan baharu di Pantai Melawi, Bachok
Foto : Pintu gerbang ke kawasan ‘Beach Boy Street’ di Pantai Melawi, Bachok, Kelantan.
‘Beach Boy Street’ tarikan baharu di Pantai Melawi, Bachok
BACHOK – Kawasan Pantai Melawi yang sebelum ini sunyi kini berubah wajah menjadi salah satu tarikan pelancongan menarik di Kelantan, hasil inisiatif kreatif pelajar dan pengurusan Madrasah Al-Insaniyyah Wa-Tahfizul Quran yang memperkenalkan kawasan dikenali sebagai ‘Beach Boy Street’.

Pantai Melawi yang putih bersih dulunya sunyi sepi kini menjadi tumpuan ramai untuk menenangkan fikiran dan bersantai bersama keluarga.
Terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu, pantai ini menjadi tumpuan ramai kerana keindahan semula jadinya yang masih terpelihara, suasana yang tenang, serta kemudahan yang lengkap untuk pengunjung.
Menurut Pengurus Madrasah, Ustaz Muhammad Muaz Hasbullah, inisiatif tersebut bermula sebagai usaha kecil untuk menghidupkan kawasan pantai berhampiran madrasah yang suatu ketika dahulu sepi tanpa pengunjung.
“Lapan tahun lalu, hanya kedengaran ombak dan suara pelajar madrasah bermain bola di persisiran pantai. Kini, suasananya jauh berbeza dengan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Kelantan.
“Pihak madrasah dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) membangunkan kawasan itu dengan menyediakan kira-kira 25 kiosk yang disewakan kepada vendor tempatan. Hasil sewaan digunakan untuk menampung kos operasi madrasah,” katanya.
Katanya, selain itu, kemudahan asas seperti tandas dan surau juga disediakan dan dibuka kepada orang ramai dengan sumbangan derma ikhlas.
“Ini bukan sekadar usaha membangunkan ekonomi madrasah, tetapi juga peluang membantu penduduk setempat menjana pendapatan melalui penyediaan kiosk makanan dan minuman.
“Kawasan ‘Beach Boy Street’ yang dipagari dengan tali dan dilengkapi pintu gerbang bukanlah halangan, sebaliknya simbolik kepada suasana teratur dan selamat. Pengunjung bebas masuk untuk menikmati keindahan pantai dan membeli juadah tempatan,” katanya.
Katanya, madrasah yang menempatkan 40 pelajar lelaki itu turut menyediakan 10 unit chalet untuk kemudahan ibu bapa pelajar yang ingin bermalam.
Pengunjung dari luar negeri turut memuji usaha ini. Muhammad Ibrahim, pengunjung dari Teluk Intan berkata, pantai ini sangat sesuai untuk keluarga. Kemudahan yang disediakan amat memudahkan, dan anak-anak dapat bermain dengan selamat.-SAHIH.