Bangkai gajah hanyut di Sungai Pahang, nelayan sungai terkejut
Bangkai gajah hanyut di Sungai Pahang, nelayan sungai terkejut
JERANTUT : Seorang nelayan sungai terkejut melihat seekor bangkai gajah hanyut di Sungai Pahang di Lubuk Penor, Kampung Besul, dekat sini kira-kira jam 6.00 petang semalam.
Nelayan sungai itu, Azman Yusoff (54) berkata, dia telah turun ke kawasan sungai berseorangan di situ untuk menjaring ikan yang sudah menjadi kelazimannya.
“Saya memang mencari rezeki dengan menjaring atau memancing di sepanjang Sungai Pahang berdekatan kawasan Kampung Besul sehingga ke Kampung Pulau Mansok.
“Ketika saya menaiki bot dan mahu memasang jaring, saya terlihat ada objek terapung-apung dan menjangkakan kayu hanyut,” katanya.
Katanya, dia melihat bentuk agak pelik dan saiz yang agak besar, perasaan bimbang turut ada kerana selama menjadi nelayan sungai dia tidak pernah melihat objek pelik begitu dan berhati-hati mendekati objek itu
“Saya terkejut rupanya bangkai gajah bersaiz anggaran empat hingga lima depa berdasarkan badan gajah yang terapung.
“Di samping itu, banyak batang kayu hanyut dibawa arus deras dan saya membiarkan bangkai itu hanyut,” katanya.
Katanya, mungkin haiwan itu tergelincir ke dalam sungai dan dibawa arus deras menyebabkan lemas. Difahamkan, bangkai gajah yang hanyut itu telah sampai ke Bera.-SAHIH.