Bahasa Melayu Menduduki Tangga Ke-10 Popular Di Dunia
JOHOR BAHRU – Kita sebagai rakyat Malaysia perlu berbangga dengan bahasa kebangsaan kerana Bahasa Melayu adalah bahasa ke-10 paling popular yang digunakan di dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan perkara itu di Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 (PABM) yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang melibatkan seramai 78 peserta dari 36 negara, antaranya Bangladesh, Jepun, Uzbekistan, Mesir, Brunei, Mali dan Pakistan.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih digunakan, 20 bahasa sahaja yang dikategori dan diberi taraf bahasa rasmi termasuk Bahasa Melayu.
Walaupun pada zaman ini Bahasa Inggeris dilihat sebagai bahasa yang lebih banyak digunakan tetapi Bahasa Melayu masih kuat mengekalkan kehebatan tersendiri dan sentiasa berada di persada dunia.
Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak semua bahasa utama dalam dunia mendapat pengiktirafan seperti ini kerana ada bahasa yang lenyap dan ada juga yang mengalami ancaman kepupusan.
Rakyat Malaysia harus bersyukur dan bangga dengan Bahasa Melayu yang masih diterima di mata dunia dengan hasil kesepaduan rumpun Nusantara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam sebagai pendukung utama.
Bilangan pertuturan Bahasa Melayu melebihi 300 juta orang dan akan meningkat dari semasa ke semasa.
Perkara ini akan dapat mengembalikan zaman kegemilangan Bahasa Melayu.
Selain itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berharap setiap persidangan, mesyuarat dalam sektor swasta dan kerajaan menggunakan Bahasa Melayu untuk memartabatkan menyokong bahasa ibunda.
SUMBER: ASTRO AWANI