MAKAM ULAMA PAHANG, ENGKU KHATIB TIDAK TERJEJAS DIHEMPAP POKOK SENA BERUSIA 150 TAHUN
Berita Sejarah
MAKAM ULAMA PAHANG, ENGKU KHATIB TIDAK TERJEJAS DIHEMPAP POKOK SENA BERUSIA 150 TAHUN
JERANTUT – Makam lama milik ulama Pahang Engku Khatib bin Tun Abdullah tidak terjejas walaupun dihempap sebatang pokok sena berusia 150 tahun yang ditanam bersama hari kematiannya pada tahun 1875 di Makam Bukit Hangus Kampung Bantal, di sini.
Ahli Jemaah Pangkuan Diraja
Penghulu Mukim Batu Talam, Che Wan Ahmad Shaifuddin Che Wan Hamzah berkata, turut tidak terjejas ialah makam menantunya Siti Khatijah yang merupakan anak Pembesar Brunei yang berkahwin dengan anakanda keempatnya, Wan Ahmad bin Engku Khatib.8
Menurutnya, dalam kejadian minggu lalu, pokok sena sebesar dua pemeluk tersebut tumbang dan menghembap dua makam waris Kesultanan Kerajaan Johor, Riau Lingga, Pahang itu.
Menurutnya, ia disedari oleh orang kampung keesokannya kerana malam kejadian tersebut berlaku hujan lebat.
“Berlaku keajaiban kerana dua pasangan nesan itu tidak terjejas langsung walaupun dari segi logik akal nesan itu sudah musnah terkena dahan pokok yang tumbang.
“Pokok tersebut sebenarnya telah mati lebih kurang empat ke lima bulan lalu,namun penduduk kampung tidak berani untuk menebangnya kerana bimbang terkena makam.
“Namun, pokok tersebut tumbang dengan sendiri dan Alhamdulillah tanpa menjejaskan makam-makam tersebut.Kami bersyukur kerana Allah memelihara makam-makam tersebut.
“Penduduk kampung keesokannya telah bergotong-royong dan membersihkan kawasan makam tersebut.
“Engku Khatib merupakan dua pupu kepada Bendahara Wan Ahmad (Sultan Ahmad Muazzam Shah) iaitu Sultan pertama negeri Pahang, dan beliau telah mengislamkan penduduk di Lembah Tembeling ketika itu, “katanya kepada pemberita Sahih di Kampung Bantal,di sini,hari ini.
Engku Khatib lahir tahun masihi 1795 dan meninggal dunia pada tahun masihi 1875.
Pokok sena sebesar dua pemeluk orang dewasa ditanam bersebelahan makam tersebut sebagai tanda peringatan atas titah Sultan Ahmad Muazzam Shah.
Nama sebenar beliau ialah Wan Endut bin Tun Abdullah bin Tun Da (Yusof) Pedah ibni Tun Abdul Majid Raja Bendahara Pahang Tahun Masihi (TM) 1770-1802, ibni Tun Abbas Raja Bendahara Pahang (TM1735-1770), ibni Sultan Abd Jalil IV Riayat Shah (TM1697-1720) Marhum Kuala Pahang, yang ada kaitan dengan Kesultanan Johor, Riau Lingga, Pahang.
Beliau merupakan tokoh agama yang banyak berjasa menyebarkan syiar Islam di kawasan Ulu Pahang pada awal kurun ke -20.
Beliau terkenal dengan gelaran Engku Khatib iaitu perkataan arab khatib yang bermaksud orang yang pandai berpidato
.
Dianugerah gelaran Engku Khatib oleh Bendahara pada tahun masihi 1864.
Untuk rekod, makam Tun Abdullah ayahanda Engku Khatib turut ditemui di makam Ketapi Kampung Chebong.
Disebelah makam al-marhum Tun Abdullah turut tumbuh sebatang pokok sena yang ditanam atas titah Sultan Ahmad Muazzam Shah.