KAPAL LAMA DIPERCAYAI TAHUN 1800-AN DITEMUI DI SUNGAI LIPIS
KAPAL LAMA DIPERCAYAI TAHUN 1800-AN DITEMUI DI SUNGAI LIPIS
LIPIS: Seorang wanita penduduk Kampung Pagar, Batu 6, Penjom terkejut setelah dipercayai menemui sebuah kapal lama yang terdampar di tepi Sungai Lipis berdekatan dengan Jambatan Gantung Sungai Kampung Pagar Penjom, pada jam 5.00 petang semalam, di sini
Wanita itu, Sharimah Mohd Nor, berusia 50 tahun, berkata apabila beliau menemui objek yang dipercayai rangka sebuah kapal terus memaklumkan penemuannya ke Balai Polis Penjom.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, setelah menerima makluman tersebut, pihaknya dan anggota Balai Polis Penjom terus ke lokasi penemuan itu.
“Memang benar terdapat rangka sebuah kapal lama yang terdampar di tebing sungai Lipis selepas timbul akibat banjir besar yang telah melanda daerah Lipis baru-baru ini.
“Pada badan kapal tersebut tertulis pada sekeping logam yang bertulis ‘VIVIA AND SONS SHEATING’, namun terdapat beberapa bahagian badan kapal itu telah tiada,’ katanya.
Katanya, hasil temubual penduduk di situ, terdapat sekumpulan penduduk kampung yang telah mengambil bahagian tertentu kapal itu.
“Pihak polis telah memaklumkan kepada pihak Jabatan Warisan Malaysia untuk tindakan selanjutnya,”katanya.
Katanya, menurut Cabutan Akta Warisan Kebangsaan, orang ramai yang menemui objek yang dipercayai mempunyai warisan kebudayaan yang penting hendaklah dengan serta-merta memberitahu pihak berkuasa.
Azli berkata, kesalahan berkaitan dengan Objek Warisan, mana-mana pihak yang memusnahkan, merosakkan, mencacatkan, melupuskan atau mengubah sesuatu warisan kebudayaan ketara tanpa suatu permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa telah melakukan kesalahan.
ANTARA BAHAGIAN KAPAL YANG DITEMUI BERHAMPIRAN SUNGAI LIPIS/GAMBAR IHSAN FACEBOOK AZMI NASIR
“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau keduanya sekali,” katanya.