50 OKU serta Monsoon Fun Run Felda Jengka 12
50 OKU serta Monsoon Fun Run Felda Jengka 12
MARAN – Lebih 50 peserta Orang Kurang Upaya (OKU) menyertai acara larian 05 Kilometer OKU Fun Run yang diadakan bersempena Kejohanan Monsoon Run Kinabalu Hill di Felda Jengka 12, di sini, baru-baru ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, acara tersebut merupakan julung kali diadakan seumpamanya di negeri Pahang dan diterajui oleh anak-anak kelahiran Felda Jengka 12 menerusi Persatuan Rekreasi Dan Kebudayaan AD21 Pahang.
Fuziah berkata , 50 perserta OKU adalah antara 330 penyertaan dalam lima kategori yang dipertandingkan, iaitu Trail Run 12 Kilometer Lelaki Dan Wanita Merentas Bukit Kinabalu; Fun Run 05 Kilometer Lelaki Dan Wanita Rentas Desa dan Fun Run 05 Kilometer Merentas Desa Kategori OKU serta murid Pendidikan Khas.
“Menariknya, persatuan yang dianggotai oleh anak muda Felda Jengka 12 bersama 80 orang penduduk sukarelawan menggembling tenaga secara maksima bagi memastikan kejayaan program ini.
“Tujuan utama program seperti ini adalah mencapai objektif sebenar iaitu mempromosikan gaya hidup sihat; memberi impak positif terhadap kelestarian alam semulajadi dan kesihatan rohani dan jasmani para peserta,” katanya.
Katanya, selain itu tanpa sedari turut menyatukan perpaduan antara rakyat negara ini di samping membina komuniti yang lebih erat dan saling memahami antara satu sama lain.
“Menerusi acara larian ini turut membawa pelbagai peserta dari pelbagai negeri dan latar belakang ke daerah ini semestinya mampu menyemai perpaduan kalangan peserta menerusi bidang sukan.
“Ini seiring konsep Malaysia Madani, yang berlandaskan enam perkata; Kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan diri dan Ehsan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Monsoon.
Katanya, pada masa sama, beliau berharap acara ini dapat membuahkan kegembiraan kalangan warga OKU yang turut sama-sama bersukan dengan penglibatan khusus Pejabat Pendidikan Daerah Maran serta Kementerian Belia dan Sukan Pahang yang menguruskan peserta OKU.
“Acara yang dilaksanakan dengan pembabitan golongan kurang upaya ini sememangnya satu inisiatif yang wajar dipuji. Ini menunjukkan dalam masyarakat Madani pada hari ini, kita tidak meninggalkan golongan kurnag upaya berada jauh di belakang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, yang juga Pengerusi Persatuan Rekreasi Dan Kebudayaan AD21 Jengka Pahang, Sharul Efendi Ismail berkata, Monsoon Run Kinabalu Hill dijayakan oleh kira-kira 80 sukarelawan kalangan belia, beliawanis dan warga emas Felda Jengka 12.
“Kami bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan seperti Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pahang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Tioman Development Authority, Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta mendapat perhatian penuh oleh pengurusan Felda yang membantu dari pelbagai segi.
“Acara ini dilaksanakan seluruh warga kampung. Setiap petang sepanjang empat bulan membuat persediaan, orang kampung berkonvoi menaiki motosikal membuat penandaan, bermesyuarat sehingga dinihari bagi melancarkan pergerakan acara, membaiki siling dan pentas utama serta astaka dan padang,” katanya.- SAHIH.