LIPIS – Seorang penunggang motosikal dalam perjalanan balik kampung untuk menyambut Aidil Adha maut dalam kemalangan di KM 25, Jalan Lipis-Benta menghala Kuala Lipis pada jam 5.30 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, penunggang tersebut, Mohamad Suhamel Ismail (24) yang datang dari rumahnya di Kepong dalam perjalanan balik ke kampungnya di Kampung Bertam, Gua Musang.
“Hasil siasatan awal, apabila sampai di tempat kejadian di Bulatan Benta di laluan tersebut, lori terbabit telah mengelak sebuah kereta yang rosak di tengah-tengah bulatan akibat kemalangan yang berlaku sebelum itu.
“Dalam keadaan menggelak itu, lori itu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh penunggang motosikal yang sedang berehat di tepi jalan tempat berlaku kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, lori itu yang dipandu oleh seorang lelaki warganegara tempatan berusia 29 tahun yang datang dari Klang sedang menuju ke Tanah Merah untuk menghantar muatan tilam.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Taman Tema, Genting Skyworlds, Genting Highlands terbakar.
BENTONG – Taman tema, Genting Skyworlds di pusat peranginan Genting Highlands dilaporkan berlaku kebakaran pada bahagian luar bangunan empat tingkat, pada jam 4.55 petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, kebakaran melibatkan bahagian luar (outdoor) bangunan tingkat dua hingga tingkat empat.
“Kebakaran melibatkan bahagian luar bangunan dan sistem pepasangan kebakaran bangunan berfungsi serta tidak melibatkan mangsa.
“ Seramai 39 anggota dan pegawai termasuk empat unit jentera LFRT dan FRT termasuk dua unit ambulan (EMRS),’ katanya.
Katanya, sebelum itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang dan tiba di tempat kejadian pada jam 5.01 petang dengan empat anggota daripada BBP Genting Highlands.
“Sebanyak tiga BBP, BBP Genting Highlands dengan 8 anggota dan dibantu oleh anggota BBP Bentong dengan 10 anggota dan BBP Selayang dengan (10) manakala PBS Janda Baik (8) dan Unit Kebakaran Genting seramai 20 orang,” katanya.
“ Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 6.30 petang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Bentong, Superitendan Zahaim Mohd Kahar mengesahkan kejadian itu.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Sebanyak 200 kampit beras dan 200 sarang telur habis terjual dalam tempoh sejam di Program Karnival Jualan Agro Madani (JAM) yang diadakan di Perkarangan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut yang diadakan hari ini.
Jurucakap FAMA berkata, seawal program itu dibuka pada jam 9.00 pagi, orang ramai datang dan membeli beras dan telur untuk kehadiran sambutan Aidil Adha yang bakal disambut pada hari Isnin ini.
Katanya, sekampit beras seberat 10 kilogram dijual pada harga RM26, manakala telur bersaiz gred A dijual RM 13.00 sebanyak 30 biji, gred B (RM 12.00 ) dan saiz gred C berharga RM 11.00, daging dan tulang turut dijual di situ pada harga RM 28 sekilogram.
Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) itu, memfokuskan kepada golongan B40 dengan membekalkan produk segar, barang kawalan dan produk keperluan asas terpilih dengan penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Produk terpilih seperti sayur, buah, ayam, ikan, daging, dan barangan runcit dan ditambah dengan produk barang kawalan seperti gula, minyak, tepung dan beras serta keperluan produk makanan asas terpilih.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Program Karnival Jualan Agro Madani (JAM) usaha membantu rakyat
KUANTAN – Program Karnival Jualan Agro Madani (JAM) yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) adalah satu pendekatan bagi mengembangkan usaha membantu rakyat pada skala yang besar.
Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) itu, memfokuskan kepada golongan B40 dengan membekalkan produk segar, barang kawalan dan produk keperluan asas terpilih dengan penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Produk terpilih seperti sayur, buah, ayam, ikan, daging, dan barangan runcit dan ditambah dengan produk barang kawalan seperti gula, minyak, tepung dan beras) serta keperluan produk makanan asas terpilih.
Program yang berlangsung selama tiga hari itu bermula pada 13 Jun 2024 sehingga 15 Jun 2024, bertempat di Pasar Tani Kekal Chini ini mendapat kerjasama dari pihak kerajaan negeri dan juga pengurusan Felda Gugusan Chini.
Seramai 100 orang peserta mengambil bahagian yang akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pengunjung.
Selain dari penjimatan pada harga jualan, pelbagai acara menarik disediakan yang bertujuan mengeratkan perhubungan antara penduduk, keluarga dan juga pihak pentadbiran.
FAMA Negeri Pahang terus membawa pelbagai usaha dalam membantu usahawan dan pengguna untuk terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini.
Antara program khas yang dibawa adalah “Go Casless’ yang menggalakkan pengguna berbelanja tanpa tunai yang lebih selamat, mudah dan cepat.
Pengarah FAMA Negeri Pahang, Saiful Sadri mempelawa penduduk Chini dan penempatan yang berhampiran untuk dapat dan terus berjimat dalam program yang diadakan itu. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Ahli KRT bekerjasama untuk menghidangkan ikan patin masak tempoyak kepada warga emas di PJMM.
KRT Taman Paya Taram, Temerloh hidang warga emas PJMM patin masak tempoyak
“KAMI terpanggil dan berasa prihatin untuk menceriakan warga emas yang diabaikan oleh keluarga, hidup sebatang kara di samping uzur dengan hidangan original ikan patin masak tempoyak kerana mungkin bagi mereka sudah lama teringinkan menu itu.
“Jarak hampir 100 kilometer dari kediaman Taman Paya Taram, Kerdau, Temerloh, Pahang ke Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, bukan satu bebanan atau penghalang walaupun terpaksa menempuh kesesakan di jalan raya namun kesabaran menguatkan semangat bagi menyempurnakan hajat itu,” kata Bendahari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan, Jalilah Saparri.
Bagi tujuan itu, beliau bersama 18 ahli KRT yang mengikuti Program Ziarah Kasih ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, membawa lebih 20 ikan patin untuk dimasak tempoyak original Paya Taram, ulam-ulaman dan ayam goreng berempah menggunakan dapur pusat berkenaan pada 1 Jun 2024.
Ahli KRT turut menyantuni warga emas yang uzur dan terlantar di atas katil.
Jalilah berkata, program yang sudah lama dirancang itu mendapat kata sepakat daripada ahli untuk memasak serta menyediakan menu berkenaan kepada warga emas dan petugas PJMM kerana sering menjadi hidangan lauk utama apabila ada pelawat berkunjung ke taman mereka serta mendapat pujian rasanya enak berbanding di tempat lain.
Menurutnya, dia bersama ahli-ahli wanita ikhlas memasak untuk warga emas itu dan berasa amat terharu melihat gelagat mereka yang seronok dapat menikmati hidangan ikan patin masak tempoyak dan tidak kurang juga meminta untuk ditambah nasi serta ikan patin dalam pinggan.
“Bergenang air mata kami apabila melihat ada sesetengah warga emas ini baik lelaki atau wanita tanpa segan silu menghirup lebihan kuah ikan patin masak tempoyak dan tidak kurang juga meminta dimasukkan dalam mangkuk plastik untuk dihirup menggunakan sudu,” ujarnya.
Turut serta dalam program itu, Pegawai Perpaduan Daerah Temerloh selaku pegawai pengiring, Raja Awang Raja Ahmad dan Pengerusi KRT Taman Paya Taram, Nordin Mohd Shariff. Turut menyambut kedatangan rombongan KRT berkenaan, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; dan Ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA ’24).
Pengerusi KRT Taman Paya Taram, Nordin Mohd Shariff berkata, program berkenaan juga umpama kunjungan balas bagi menghargai jasa dan pengorbanan PJMM bersama sukarelawan ke Taman Paya Taram dua tahun lalu (2022) membantu serta menghulurkan sumbangan kepada 130 mangsa banjir.
Menurutnya, kunjungan PJMM bersama sukarelawan pada ketika itu amat menyentuh perasaan hati mereka yang menjadi mangsa banjir besar kerana dapat meringankan bebanan bagi mendapatkan barangan keperluan harian makanan asas dan pakaian terpakai selepas rumah digenangi banjir sedalam antara 0.9 meter dan 1.2 meter.
Jelasnya, selepas berbincang dengan ahli jawatankuasa KRT kami bersetuju untuk mengadakan program itu dengan mengambil daya usaha untuk memasak ikan patin tempoyak yang sememang sudah lama popular di Kerdau kerana kelazatannya.
“Selain itu kami turut menghulurkan sumbangan barangan keperluan makanan asas untuk PJMM supaya dapat dinikmati warga emas dan akan turut mengambil langkah menguar-uarkan bantuan yang diperlukan kepada penduduk setempat serta bertindak sebagai tempat mengumpul sebelum dihantar ke pusat jagaan ini.
“Beberapa jiran muda mengikuti program ini juga akan digerakkan untuk menjadi penyebar maklumat mengenai PJMM juga menasihati generasi muda di taman untuk lebih bertanggungjawab menjaga serta mengurus ibu bapa di rumah terutama yang uzur.
“Apa yang mereka lihat didepan mata dan mendengar keluhan warga emas di pusat ini diharap mampu menjadi ikhtibar supaya menjadi jiran muda menghormati orang yang lebih tua serta bijak untuk menyantuni mereka,” ujarnya.
Raja Awang yang menyampaikan ucapan pada program itu tidak dapat menahan sebak mengenangkan nasib warga emas di PJMM.
Sementara itu, Raja Awang yang berucap pada program berkenaan, melahirkan rasa kagum dengan pengurusan PJMM yang begitu baik mengurus pusat jagaan berkenaan apabila keadaan persekitarannya yang bersih dan susun atur kemudahan sempurna kerana memberi keselesaan kepada warga emas berlindung di situ.
Menurutnya, walaupun tiada peruntukan khas disumbangkan setiap bulan kepada mereka, pihak pengurusan PJMM tetap gigih berusaha mendapatkan dana serta sentiasa bersikap terbuka kepada pelbagai pihak yang ingin membuat amal kebajikan atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menampung kos operasi.
Tambahnya, apabila dimaklumkan KRT Taman Paya Taram ingin membuat program itu, dia memberi sokongan penuh dan bersedia untuk menjadi pegawai pengiring supaya dapat menyebarkan maklumat pusat jagaan berkenaan kepada penduduk di Temerloh.
“Paling terharu saya tidak dapat menahan sebak apabila mengetahui keadaan warga emas di sini yang rata-rata mengharapkan belas insan untuk meneruskan kehidupan selepas disisih oleh ahli keluarga dan dilayani serta disantuni dengan baik petugas PJMM.
“Saya berharap apa yang dilihat di depan mata ini melahirkan keinsafan kepada kami yang menyertai program itu kerana nasib kita pada depan belum tahu kesempurnaannya terutama apabila nilai kasih sayang diabaikan,” ujar beliau. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Pelajar membuat senaman ringan bersama-sama warga emas untuk membina kecergasan.
Pelajar UIAM Pagoh santuni PJMM
Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Pagoh, Johor mengadakan Program Projek Jalinan Muhibah bersama Mahmudah di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, baru-baru ini.
Program itu menepati latihan luar kampus pelajar terbabit dalam mempertingkat keyakinan dan jati diri dengan berpegang utuh kepada nilai-nilai adat, budaya, agama dan bangsa apabila berada dalam lingkungan komuniti masyarakat pelbagai kaum.
Ketua Jabatan Bahasa Melayu (Kuliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari) UIAM Kampus Pagoh, Dr Nurul Jamilah Rosli, berkata apa yang pelajar belajar dalam bilik kuliah secara teori yang belum mencukupi atau menepati apabila mereka berdepan dengan masyarakat dalam kehidupan yang sebenar.
Dr Nurul Jamilah Rosli dan Azman Ras,am melakukan gimik perasmian Program Projek Jalinan Muhibah bersama Mahmudah.
Justeru itu, hasil kerjasama semua pihak termasuk dalam kalangan pelajar sendiri membawa mereka keluar ke lapangan untuk menimba pengalaman menyantuni warga emas secara realiti dengan mempraktikan ilmu yang dipelajari dalam bilik kuliah.
“Program dianjurkan ini menepati dengan kursus dalam Program Sarjana Muda Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa diikuti pelajar terbabit yang membantu mereka bagi mula membina pengalaman baharu berdepan dengan orang ramai termasuk warga emas.
“Pelajar akan memahami khususnya sikap warga emas di pusat jagaan sebagai contoh menghadapi pelbagai masalah yang bukan setakat sahaja uzur malah ada antara mereka pelupa, dan kena bertanya berkali-kali untuk memahami apa soalan yang diajukan atau mengikuti arahan,” katanya.
Tambahnya, semua ini akan menguji kesabaran pelajar terbabit dan memikirkan cara terbaik bagi menyantuni warga emas seperti itu seperti bahasa yang perlu dituturkan, berlembut penuh sopan dan paling penting bersabar dengan mereka apabila bekerjaya nanti.
“Saya berpuas hati dengan pembabitan pelajar dalam program ini yang menunjukkan mereka bersikap positif dalam menjaga tatasusila melayani warga emas walaupun kali pertama terbabit dengan aktiviti khidmat komuniti,” ujarnya ketika ditemui pada majlis perasmian program berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Program berkenaan, Jihan Irniesha Mohd Nazri, berkata objektif program itu adalah bagi mempertingkat kemahiran berbahasa pelajar melalui interaksi dengan warga emas, menekankan penggunaan bahasa yang santun dan hormat-menghormati.
Katanya, program ini untuk memupuk kesedaran sosial dalam kalangan pelajar mengenai keperluan dan keinginan warga emas, dengan menitikberatkan kepentingan menunjukkan budi bahasa melalui komunikasi yang beretika.
“Program ini juga merupakan tugasan bagi subjek BMCO 3102: Kesantunan Berbahasa yang memerlukan pelajar untuk menghasilkan sebuah projek bagi menerapkan amalan kesantunan.
“PJMM dipilih kerana pusat jagaan berkenaan merupakan antara pusat jagaan yang terbaik dari aspek penerimaan untuk menjalankan program serta amat responsif terhadap sebarang pertanyaan yang diajukan, urusan bersama pihak pusat itu juga amat mudah untuk pihak kami bekerjasama,” katanya.
Menurutnya, antara aktiviti dilakukan dalam program itu termasuklah senaman ringan, kotak beracun iaitu memerlukan warga emas menyanyi, berpantun atau bersajak dan secara tidak langsung mewujudkan hubungan ramah mesra serta pemberian hadiah kepada mereka.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff diberi taklimat oleh pihak KPKT.
KPKT usaha majukan fasiliti di Pahang
PEKAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berusaha memajukan perumahan, kemudahan dan fasiliti di Pahang.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Kerajaan Pahang menyambut baik usaha itu dan perlu diteruskan bagi memastikan kelengkapan kemudahan seperti stesen bas dan perumahan yang selesa dapat dibina di negeri ini termasuklah di Daerah Pekan.
“Kerajaan Negeri berterima kasihlah kepada KPKT dan kakitangan yang telah bersama-sama hadir pada hari ini untuk mencari penyelesaian atau pun untuk memulakan langkah-langkah bagi memastikan projek yang dilaksanakan oleh KPKT ini dapat berjalan dengan baik.
“Bagi Kerajaan Negeri pula kita akan membantu sehabis baik untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar termasuklah pembinaan projek Pekan Sentral ini dan juga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Genuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan Lawatan Kerja Ke Tapak Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Genuk dan Tapak Pembinaan Sentral Pekan di Pekan, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Fakhruddin berkata, menerusi pembinaan Sentral Pekan dan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Paya Genuk di daerah itu akan dapat menggalakkan perkembangan pembangunan lain di kawasan sekitar.
“Pembinaan Sentral Pekan ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan lain, sebagai contoh di belakang ini ada projek-projek swasta untuk membangunkan perumahan.
“Begitu juga apa yang berlaku di Projek PPR di Paya Genuk, kita jangkakan dengan terbinanya lebih kurang 200 unit rumah di Paya Genuk ini akan menjadi pemangkin baru dan dapat memenuhi keperluan perumahan yang kita jangkakan di Pekan ini apabila sebanyak 3,000 penduduk yang mendaftar memerlukan rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M. Noor Azman Taib berkata, pihaknya menjangkakan Pekan Sentral menjadi katalis kepada pembangunan di sekitar kawasan itu.
“Projek Pembinaan PPR Paya Genuk di Pekan membabitkan sebanyak 200 unit rumah dengan kos keseluruhan RM50 juta dan dijangka dapat memulakan pembinaannya pada penghujung tahun ini. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penjaring terbanyak bola baling MSSM 2023 perolehi ‘straight A’ SPM
Foto atas :Muhammad Irham diapit ayahnya, Muhammad Shamsul Nizam Muhammad Ali (kiri ) dan ibunya, Zuzalyna Jiman (kanan)
JERANTUT ; Penjaring terbanyak dalam sukan bola baling di kejohanan Majlis Sukan sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 18 tahun 2023 telah memperolehi ‘straight A’ dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Afzan Hajjah Afzan Pahang (TAHAP) itu, Muhammad Irham Hijazi Shamsul Nizam yang memerpolehi 9A dalam semua subjek berkata, pembahagian masa yang baik antara sukan dan pelajaran perlu diikuti dengan penuh disiplin yang tinggi.
Muhammad Irham Hijazi Shamsul Nizam
Anak keempat daripada empat adik beradik turut mewakili Pahang untuk kejohanan MSSM (Bola Baling) bawah 12 tahun dan mewakili Malaysia ke kejohanan Singapore Handball Open Tournament 2022 (SHOT) ketika berusia 16 tahun dan MSSM tahun 2023 dan muncul juara.
“Saya menjadikan sukan bola baling sebagai pilihan yang pertama selain sukan bola sepak dan olahraga.
“Bapa saya sebagai pemangkin dan idola dalam permainan bola baling ini kerana beliau salah seorang penggerak sukan ini di Pahang dan Malaysia,” katanya.
Kataya, tiada rahsia besar untuk memperolehi kejayaan SPM ini, sebagai pelajar perlu bersungguh-sungguh, kalau guru sahaja bertungkus lumus tapi pelajar sambil lewa kejayaan tidak akan datang bergolek.
“Selain itu, taat kepada ibubapa, guru-guru dan rakan-rakan dan mendengar nasihat dan pandangan orang lain, sentiasa fokus di dalam kelas ketika belajar kerana penerangan guru itu memberi berkat yang terbaik.
“Diharap semua rakan-rakan, adik-adik yang bakal menduduki SPM tahun ini terus berusaha dan jangan mengalah, bersungguh-sungguh dan jangan lupa solat dan berdoa yang turut menjadi kunci kepada kejayaan kita,” katanya.
Selain itu, Irham turut mendapat Keputusan cemerlang (A) dalam Prinsip Akaun dan layak pengecualian ACCA-FIA-FAI serta cemerlang LCCI. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Setor rumah di Taman Inderapura terbakar sepenuhnya
JERANTUT – Kejadian setor sebuah rumah di Jalan 6, Taman Inderapura dekat sini terbakar sepenuhnya pada jam 9.30 pagi hari ini
Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut, , Shuaimi Muhammad melaporkan, kejadian kebakaran setor berkeluasan 15 kaki x 20 kaki jenis separuh kekal yang dijadikan tempat simpanan barang lusuh dan baja.
Katanya, pasukan bomba membuat operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran hos sepanjang 100 kaki, nozle dan satu aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba.
“Seramai lapan anggota BBP Jerantut bersama dua buah jentera digerakkan ke tempat kejadian. Kebakaran itu tidak melibatkan kemalangan jiwa,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Memasak mi segera di stesen minyak Genting Highlands undang kebimbangan orang ramai
BENTONG – Perbuatan sekumpulan pemilik kenderaan memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands mengundang kebimbangan dan kegusaran orang ramai yang berada di situ.
Kejadian itu ditularkan melalui satu klip video berdurasi 50 saat memaparkan kumpulan itu sedang melakukan aktiviti memasak.
Ketua Polis daerah Bentong, Superitendan Zahiam Mohd Khar berkata, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerima satu laporan polis berkaitan kes itu kira-kira jam 12.35 tengah hari, hari ini.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati, klip video tersebut telah tular melalui satu laman sosial Twitter (X) dan telah dimuatnaik pada 13 mei 2024.
“Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu satu kesalahan menyebabkan kegusaran am kepada orang awam dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain,” katanya melalui siaran media hari ini.
Zaiham berkata, beliau memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Pihak polis Bentong akan mengambil tindakan tegas dan akan membuat operasi bersepadu di sekitar lokasi stesen minyak berkenaan khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.
“Pihaknya mendapat maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik-pemilik kenderaan yang berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya lain yang melalui lokasi berkenaan,” katanya. – SAHIH.
Video : https://pandulaju.com.my/masak-mi-segera-di-stesen-minyak-genting-highlands-kumpulan-honda-jazz-teruk-kena-kecam/
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!