Foto : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 di Arena Jubli Perak, Kuala Lipis.
Pahang hargai pengorbanan bapa
LIPIS – Kerajaan Negeri Pahang menyambut Hari Bapa Peringkat Negeri Pahang 2025 sebagai tanda penghargaan kepada golongan bapa yang menjadi tonggak dalam membina keluarga dan masyarakat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pengorbanan bapa sering berlaku di belakang tabir, namun ia tetap menjadi faktor utama kesejahteraan keluarga.
“Bapa jarang menzahirkan perasaan mereka, namun hati mereka sentiasa komited membawa keluarga menuju kebahagiaan dan kejayaan anak-anak.
“Kerajaan negeri akan terus meneliti cadangan program dan bantuan, termasuk sokongan kewangan, bagi membantu para bapa yang memerlukan agar mereka dapat terus memainkan peranan sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Pahang di Arena Jubli Perak, di sini, hari ini.-SAHIH.
.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Seramai 32 pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk empat wanita, ditahan dalam satu Operasi Bersepadu ‘Op Hambat’ yang dijalankan sekitar daerah ini malam tadi.
Operasi yang bermula pada jam 10 malam dan berakhir jam 3 pagi tadi diselaraskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Kuantan.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Mohammad berkata, operasi melibatkan tiga pegawai dan 14 anggota daripada JIM, bersama sepasukan anggota polis.
“Hasil operasi, kita berjaya menahan 23 lelaki dan empat wanita warga Indonesia serta lima lelaki warga Bangladeshi.
“Tiada rampasan dilakukan dalam operasi ini. Semua PATI yang ditahan telah dibawa ke Jabatan Imigresen Kuantan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan di beberapa tapak pembinaan dan rumah kongsi di sekitar Jerantut atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menurut beliau, operasi itu merupakan sebahagian daripada tindakan berterusan pihak berkuasa bagi membanteras kehadiran PATI serta menjamin keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di kawasan pembinaan dan kediaman.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Mangsa yang hilang, Severinus Jakim, 37, dilaporkan bergegas meninggalkan rumah kongsi di kawasan pembalakan untuk pulang ke Sabah sebaik dimaklumkan anaknya meninggal dunia.
Penebang balak hilang sejurus tahu anaknya meninggal
JERANTUT – Seorang penebang balak dilaporkan hilang di kawasan Hutan Simpan Tekal, di Ulu Tembeling di sini, sejak empat hari lalu.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Zukri Mohammad berkata, mangsa Severinus Jakim, 37, dilaporkan bergegas meninggalkan rumah kongsi di kawasan pembalakan untuk pulang ke Sabah sebaik dimaklumkan anaknya meninggal dunia.
Menurutnya, lelaki terbabit berasal dari Kampung Rompon, Tambunan, Sabah, dilaporkan meninggalkan rumah kongsi mereka dengan membawa sebuah beg pakaian, kira-kira jam 10:35 malam, 19 Julai lalu.
“Lelaki terbabit keluar rumah kongsi itu dalam keadaan panik dan menangis pada malam tersebut sambil membawa sebuah beg pakaian sebaik mendapat maklumat anaknya meningal dunia, lelaki terbabit berjalan keluar seorang diri melalui jalan balak.
“Rakan mangsa bimbang keselamatan lelaki terbabit dan bertindak membuat laporan di Balai Polis Kuala Tembeling, jam 5:51 petang semalam.” katanya.
Zukri berkata, kali terakhir lelaki terbabit dilihat memakai kemaja T berwarna biru dan bertopi, lokasi lelaki terbabit dilaporkan hilang adalah kawasan hutan tebal.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai polis serta bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilancarkan sejak jam 9 pagi tadi dan hingga kini lelaki terbabit belum ditemui.
“Operasi SAR akan dilakukan semula pada esuk hari dengan bantuan APM, Bomba dan Unit Anjing Pengesan (K9), ” Katanya – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bukan Sekadar Bina Kedai: Jaya Depan Rintis Ekosistem Perniagaan Hidup di Jerantut
JERANTUT – Dalam dunia pemajuan hartanah yang sering terikat pada logik ‘bina dan jual’, sebuah syarikat tempatan, Pembinaan Jaya Depan Sdn. Bhd. (Jaya Depan) tampil berbeza dengan membina bukan sekadar bangunan, tetapi mencorak ekosistem kehidupan dan perniagaan yang bernafas dan berkembang.
Bermula dengan hanya kontrak pembinaan kecil sekitar tahun 2010, Jaya Depan kini berdiri sebagai antara pemacu pembangunan komersial berimpak tinggi di negeri Pahang. Pengasasnya, Jason Tee, bukan sekadar mahu ‘menjual unit’, tetapi mencipta tempat yang hidup dengan perniagaan, komuniti dan keceriaan.
Jason Tee (kiri) menyerahkan cenderamata kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
“Saya selalu tanya, siapa yang akan berniaga di sini? Apa yang orang nak buat di sini? Kami mula dari situ,” katanya tenang tetapi yakin, sewaktu ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Antara projek yang menjadi penanda aras kejayaan pendekatan ini ialah Pusat Perniagaan Barry di Lipis, pusat komersial pertama di kawasan itu yang siap dibina pada tahun 2023. Dari situ, perjalanan terus berkembang, kini menuju ke Jerantut dengan projek mega Jerantut Square.
Jerantut Square: Nadi Baharu Gaya Hidup dan Ekonomi
Dibangunkan di kawasan seluas hampir 9 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM130 juta, Jerantut Square bukan hanya deretan kedai. Ia dirancang sebagai pusat sehenti, lengkap dengan pasar raya besar, pusat sukan, central walk, tempat letak kereta dan bas, malah stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).
“Ini bukan mall kosong, kami pastikan sudah ada pemain utama dulu seperti Watsons, Family Mart, baru kami buka kepada yang lain. Bila orang datang, semua orang dapat manfaat, dari pemilik restoran tempatan hingga ke usahawan kecil,” katanya.
Model perniagaan yang dibawanya juga unik. Ruang dibuka untuk disewa terlebih dahulu kepada syarikat kukuh. Setelah operasi berjalan lancar, barulah unit ditawarkan kepada pelabur yang mahu membeli dan mengutip sewa, satu pendekatan yang menjamin vibrancy dan pulangan jangka panjang.
Pemaju berjiwa komuniti
Pemaju Berjiwa Komuniti
Lebih daripada keuntungan, Jason percaya pemaju hari ini perlu ada tanggungjawab sosial, mencipta ruang yang benar-benar digunakan.
“Kami bukan setakat mahu jual, tapi mahu lihat tempat itu hidup. Itulah pemaju sebenar,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang menyokong visi syarikatnya.
Dengan semangat dan sokongan yang kian bertambah, Jason optimis untuk terus memperluas model ini ke daerah-daerah lain di Pahang.
“Kami tak bangun bangunan sahaja. Kami bangunkan kehidupan,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
S-GLC Pahang Pacu Pertumbuhan Ekonomi Negeri – Wan Rosdy
JERANTUT – Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) Pahang memainkan peranan penting dalam merangsang pembangunan ekonomi negeri menerusi pelaksanaan dasar strategik dan berimpak tinggi terhadap kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan S-GLC terbukti apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang mencatatkan pertumbuhan melebihi kadar nasional selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022.
“Tahun lalu, KDNK negeri mencatat pertumbuhan 5.7 peratus berbanding kadar nasional 5.1 peratus dengan nilai mencecah RM68.7 bilion.
“Malah sejak 2018, KDNK Pahang meningkat 23 peratus, iaitu lebih RM13 bilion, hasil pelaksanaan dasar ekonomi yang strategik, mampan dan menyeluruh,” katanya semasa merasmikan Sambutan 60 Tahun Penubuhan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Rest House Jerantut, hari ini.
Turut dilancarkan dalam majlis tersebut ialah projek pembangunan Jerantut Square serta pembukaan Rest House Baharu, yang dijangka memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi daerah.
Pelaburan RM4 Bilion Dalam Tempoh Enam Bulan
Menurut Wan Rosdy, prestasi pelaburan negeri juga menunjukkan pencapaian membanggakan apabila Pahang berjaya merekodkan pelaburan melebihi RM4 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sekaligus menjadi negeri tertinggi dari segi pelaburan di Pantai Timur.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif kerajaan negeri bersama agensi pelaksana, S-GLC, ECERDC, pemain industri serta pelabur yang yakin dengan potensi besar negeri ini,” katanya.
Rangkaian S-GLC Kukuh Pelbagai Sektor
Pahang ketika ini mempunyai sembilan syarikat induk S-GLC dengan lebih 47 anak syarikat yang aktif dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perladangan, perlombongan, infrastruktur, perumahan, utiliti, pengurusan air, pendidikan dan latihan kemahiran.
“Ia bukan sahaja memberi keuntungan kepada negeri, malah turut mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan untuk rakyat, menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah serta mengukuhkan ekonomi komuniti tempatan,” jelas beliau.
PET30 Jamin Pertumbuhan Ekonomi Masa Hadapan
Wan Rosdy menegaskan bahawa kejayaan semasa bukan alasan untuk berasa selesa, sebaliknya kerajaan negeri perlu terus maju ke hadapan dengan strategi baharu dan penyesuaian terhadap perubahan global.
“Berasaskan semangat itu, kita merangka Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30) sebagai pelan jangka panjang yang menjamin pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan, inklusif dan berdaya saing tinggi,” katanya.
Pelabur Asing Akan Dinilai Teliti
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran pelabur luar dan usahawan untuk membuka perniagaan di negeri ini, namun menegaskan bahawa setiap permohonan akan diteliti secara menyeluruh.
“Tidak semua pelabur akan diluluskan serta-merta kerana kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pelaburan dan Majlis Daerah akan menilai perancangan syarikat dari semua aspek sebelum diluluskan.
“Kita mahu pastikan setiap pelaburan membawa manfaat ekonomi kepada negeri dan rakyat,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Ahli PPUPSI dan PKPP merakam kenangan selepas program itu berakhir.
Program “Lebih Bersemangat Ke Sekolah” Tarik Ribuan Komuniti Ampang Jaya
ULU KLANG – Program “Lebih Bersemangat Ke Sekolah” berjaya menarik ribuan penduduk sekitar Ampang Jaya dengan pelbagai aktiviti pendidikan dan keibubapaan, berkerjasama antara Persatuan Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (PPUPSI), Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin (PKPP) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Program ini mendapat sokongan lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kehadiran Pengerusi Yayasan Felda, Datuk Zahida Zarik Khan yang turun padang memberi suntikan semangat kepada komuniti setempat.
Exco Media PPUPSI, Sofiya Nadiah Baharuddin, antara pengisian utama ialah sumbangan berbentuk Pasar Percuma yang menyediakan kelengkapan sekolah, pakaian, buku dan alat tulis untuk keluarga B40, selain pertandingan mewarna dan kuiz STEM untuk pelajar.
“Forum keibubapaan bertajuk “Bila anak tidak mahu ke sekolah, maka mak…” yang dikendalikan Pensyarah Psikologi UPSI, Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin turut mendapat sambutan hangat dengan sesi soal jawab yang interaktif.
Pengerusi PKPP, Mohd Rizal Othman menyifatkan sambutan komuniti sebagai luar biasa dan tidak dijangkakan, membuktikan keperluan berterusan program berbentuk didik hibur dan kebajikan di kawasan bandar.
“Inisiatif ini bukan sahaja bantu kurangkan beban keluarga berpendapatan rendah, tetapi juga menyemai nilai prihatin dalam komuniti tanpa mengira latar belakang,” katanya.
“Program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala untuk manfaat lebih meluas kepada Masyarakat,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Imam meninggal ketika solat Jumaat di Masjid Felda Lembah Klau
RAUB – Seorang imam menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan husnul khotimah ketika mengimamkan Solat Jumaat di Masjid Rahmat, Felda Lembah Klau, Raub, hari ini.
Allahyarham Tengku Badri Tengku Jaafar, 63, dilaporkan rebah selepas rukuk rakaat kedua kira-kira jam 1.40 tengah hari di hadapan hampir 500 jemaah yang hadir menunaikan solat fardu Jumaat.
Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman, Allahyarham merupakan imam kedua di masjid berkenaan dan mula menjalankan tugas rasmi sebagai imam sejak Mei lalu.
“Kejadian itu turut disaksikan seorang penolong pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lembah Klau yang berada dalam saf solat.
“Beliau segera memberikan bantuan kecemasan, namun Allahyarham disahkan meninggal dunia di ruang imam,” katanya ketika dihubungi media.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman, memaklumkan bahawa Allahyarham mempunyai rekod rawatan penyakit jantung di Hospital Raub.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut berdasarkan maklumat perubatan sedia ada,” katanya.
Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lembah Klau selepas Solat Isyak, malam ini.
Allahyarham Tengku Badri yang juga merupakan peneroka Felda Lembah Klau, meninggalkan seorang balu, seorang anak lelaki dan tiga anak perempuan.
Pemergian beliau dalam keadaan yang mulia itu menyentuh hati masyarakat setempat yang mengenang beliau sebagai seorang insan yang tenang, berakhlak dan sentiasa mendahulukan urusan agama.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : FC Jerantut menentang Abyss FC baru-baru ini.
FC Jerantut: Dari Akar Amatur ke Impian Liga Profesional
JERANTUT – FC Jerantut, kelab bola sepak yang mewakili daerah Jerantut, terus menampakkan kemajuan dalam arena bola sepak amatur Malaysia sambil mengukir cita-cita besar untuk menembusi liga profesional dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2021, kelab ini lahir daripada hasrat untuk memisahkan sukan bola sepak daripada pengaruh politik dan karenah birokrasi. Dengan membawa identiti tempatan yang utuh, logo FC Jerantut menampilkan unsur pokok dan sungai – simbolik kepada Jerantut sebagai pintu masuk ke Taman Negara.
FC Jerantut merakam kenangan di Padang Kompleks Belia dan Sukan Jerantut, baru-baru ini.
Presiden FC Jerantut, Ahmad Murad Idris berkata, struktur pengurusan kelab terbahagi kepada dua komponen utama iaitu pengurusan eksekutif dan pengurusan teknikal yang berfungsi secara profesional meskipun kelab masih berstatus amatur.
“Kami mahu mengurus kelab secara tersusun dan profesional, majoriti pemain adalah bakat tempatan yang kami kenal pasti menerusi sesi pemilihan terbuka dan perlawanan persahabatan. Akar kekuatan kami ialah anak muda Jerantut yang berjiwa besar.
“Sejak penubuhannya, FC Jerantut telah mencatat beberapa kejayaan membanggakan termasuk menjuarai Subang Football League 2021, Empire Booster League Genting 2023, serta mara ke separuh akhir Piala Sultan Pahang 2023,” katanya.
Katanya, saat paling dramatik ialah ketika kami tewas melalui sepakan penalti di separuh akhir Piala Sultan Pahang, setelah bangkit daripada ketinggalan dua gol. Namun, cabaran sebenar kami ialah dari sudut kewangan.
“Sebagai kelab amatur, FC Jerantut tidak menerima penajaan besar, kutipan tiket mahupun royalti siaran seperti kelab profesional. Kos operasi juga membebankan – termasuk RM40,000 untuk menyertai Subang Football League dan RM15,000 bagi saingan di Genting,” katanya.
Pengarah Teknikal, Safiuddin Shaifuddin, pula berkata kelab giat membina jaringan dengan syarikat komuniti tempatan dan menjalankan inisiatif jualan jersi serta barangan rasmi kelab bagi menampung kos.
“Kami menjadikan Kerteh FCsebagai model rujukan kejayaan kelab amatur dan menjalin hubungan baik dengan pengurusannya, terutama CEO mereka,” jelasnya.
“Kini, FC Jerantut sedang bersaing dalam Liga Amatur Pahang dan bertekad membina legasi yang kuat menerusi pencarian bakat serta kepimpinan baharu untuk memastikan kelab kekal relevan dalam jangka panjang,” katanya.
Katanya, impian kami adalah untuk melihat FC Jerantut beraksi dalam liga utama Malaysia dan mahu pemain-pemain kami menjadi rebutan kelab profesional, bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
UMNO Jerantut tekad bangkit, fokus perpaduan dan politik digital hadapi PRU-16
JERANTUT – UMNO Bahagian Jerantut menegaskan komitmen padu untuk kembali sebagai kubu kuat parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dengan menumpukan kepada pengukuhan perpaduan dalaman serta penglibatan aktif dalam medan politik digital.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kekalahan kawasan Parlimen Jerantut pada PRU-15 tidak boleh dibiarkan berulang dan menjadi tanggungjawab bersama seluruh jentera parti untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
“Kita yakin, dengan semangat bersatu, UMNO Jerantut mampu merampas semula kerusi yang tewas. Namun, usaha itu mesti bermula dengan pengukuhan perpaduan di semua peringkat mulai sekarang.
“Kekalahan lalu perlu dilihat sebagai iktibar dan satu rahmat tersembunyi yang menyemarakkan semangat baharu dalam kalangan pimpinan dan akar umbi UMNO Jerantut,”. katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut kali ke-37, semalam.
Kata beliau, BN yang diterajui UMNO memiliki peluang besar bukan sekadar untuk mempertahankan kerusi sedia ada, malah berpotensi meraih majoriti dua pertiga di peringkat nasional bagi menjamin kestabilan politik dan tadbir urus yang lebih berkesan.
“Kepentingan penglibatan aktif dalam politik digital dan penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) untuk menangani persepsi negatif pembangkang serta menarik sokongan golongan muda.
“Perang politik hari ini tidak lagi hanya di pentas ceramah, tetapi di medan digital. UMNO tidak boleh ketinggalan dalam era ini,” katanya.
Katanya, justeru itu, beliau menyeru seluruh ahli UMNO dan rakan gabungan BN di Jerantut agar mengetepikan segala perbezaan demi matlamat bersama untuk memastikan kemenangan pada PRU-16.
“Dengan semangat perpaduan baharu ini, saya yakin UMNO Jerantut mampu bangkit dan kembali menjadi kubu kuat parti,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – UMNO Bahagian Jerantut menegaskan komitmennya untuk bangkit semula sebagai sebuah wadah perjuangan rakyat yang bersih, bersatu dan matang, selepas melalui tempoh sukar akibat krisis dalaman dan badai politik kebelakangan ini.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah, berkata sudah tiba masanya UMNO Jerantut meninggalkan budaya lama yang merosakkan parti dan kembali menjadi pelindung kepada rakyat serta suara keramat bangsa.
“UMNO bukan sekadar catatan dalam buku sejarah, ia adalah nadi dalam darah rakyat, sentiasa berdenyut di dada kita semua.
“Kejatuhan UMNO bukan berpunca daripada musuh di luar, sebaliknya akibat perpecahan dalaman, pengkhianatan serta budaya tikam belakang yang merosakkan kepercayaan dan kekuatan akar umbi,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut Kali Ke-37, di sini hari ini.
Katanya, “Cukuplah! UMNO telah terlalu lama sakit dari dalam, bukan kerana musuh di luar, tetapi kerana tangan-tangan kita sendiri yang merobek kesatuan dan kepercayaan.
“Seluruh ahli UMNO perlu menolak politik kotor, politik sabotaj dan politik dendam yang selama ini menjadi racun dalam perjuangan parti.
“UMNO bukan gelanggang dendam kesumat, tetapi medan menyatukan hati dan jiwa demi agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya.
Haris menegaskan bahawa Jerantut kini berada dalam wadah baharu, lebih bersih, lebih segar dan lebih berani untuk membawa perubahan demi masa depan UMNO dan rakyat kawasan itu.
“Kita mesti buktikan kepada seluruh negara bahawa UMNO Jerantut telah matang, bersatu dan bersedia melangkah ke hadapan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!