Foto : Pasar Jerantut diserbu orang ramai untuk mendapatkan daging
Kekal tradisi keluarga dapatkan bekalan daging sambut puasa.
JERANTUT – Membeli daging setiap kali menjelang sambut Ramadan setiap tahun sudah menjadi tradisi keluarga sejak sekian lama.
Seorang pembeli dari Felda Jengka 12, Mohd Sukri Talib (45) berkata, sudah menjadi kelaziman keluarganya untuk mendapatkan daging menjelang sambutan awal Ramadan.
“Kami datang dari Jengka untuk mendapatkan bekalan daging untuk sambut awal Ramadan untuk juadah bersahur.
“Seperti tidak lengkap kalau tidak ada daging untuk dimasak menjelang awal Ramadan semasa bersahur bagi keluarga kami,” katanya.
Seorang pembeli daging dari Kampung Mela, Lipis, Mokhtar Sulaiman (59) berkata, dia dan isterinya datang ke pasar Jerantut awal pagi semata-mata untuk mendapatkan bekalan daging.
“Kebetulan anak-anak saya tinggal berdekatan di bandar Lipis dan Jerantut, jadi mereka balik untuk ‘memegang’ puasa di kampung bersama keluarga.
“Seronok bersahur beramai-ramai serta cucu yang mula belajar berpuasa,” katanya
Seorang peniaga, Amri Zakri (36) berkata, orang ramai mula datang sejak 7.00 pagi untuk mendapatkan bekalan daging tersebut.
“Di sini ada lima gerai menjual daging hanya lima ekor dijual pada peringkat awalnya, tetapi melihat banyak permintaan daripada orang ramai maka tambahan daging menjangkau menjadi 10 ekor.
“Setakat ini, harga daging lembu dan kerbau dijual pada harga RM34 sekilogram dan kambing berharga RM45 sekilogram,” katanya.
Katanya, kebanyakan pembeli bukan datang dari sekitar bandar Jerantut, tetapi ada yang datang dari kawasan luar daerah dan bandar itu.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Majlis perasmian Istiadat Mandi Perlimau Tapak, Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) Cawangan Semenyih, Selangor
Mandi perlimau satu simbolik anak gayung
Tujuan utama istiadat mandi perlimau tapak adalah sebagai simbolik membersihkan tubuh selain ia juga merupakan acara mendekatkan ahli dengan maksud tersirat dalam istiadat tersebut.
Pengerusinya, Mohd Hasni Hassan, berkata program mandi perlimau anak gayong dari Gelanggang Al-Mukhlisin, Gelanggang Putrajaya, Gelanggang SRITI serta gelanggang luar seperti dari Lenggong, Perak termasuk dalam kalangan ibu dan bapa yang bersama-sama berikrar taat setia menjadi sebahagian anak gayong.
Tok Guru Azrul Affandi Sobry (kiri) membuat persediaan untuk Majlis Istiadat Mandi Perlimau Tapak.
Menurutnya, majlis istiadat yang penuh meriah dan berjalan lancar itu dirasmi dan disempurnakan oleh Presiden Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia Pusat, Tok Guru Tuah Jani Dato’ Abdul Majid.
Selain itu, tambahnya, majlis turut dihadiri Naib Presiden 2 PSSPGM Pusat, Tok Guru Azrul Affandi Sobry; Yang Di Pertua Negeri Selangor, Tok Guru Anuar Abd Rahman; Pengerusi Majlis Gurulatih Selangor, Guru Muhammad Firdaus Ismail; wakil Surau Mukhlisin serta ibu bapa dan penjaga anak-anak gayong.
Mohd Hasni berkata, anak gayong sentiasa diingatkan untuk terus mengamalkan budi pekerti mulia dan jangan sekali-kali terjebak dengan masalah tidak diingini kerana akan memberi gambaran buruk kepada masyarakat.
Menurutnya, walaupun memiliki kemahiran ilmu mempertahan diri mereka tidak seharusnya bermegah sebaliknya gunakanlah untuk tujuan kebaikan, di samping menunjukkan contoh baik kepada remaja bahawa silat mampu membentuk disiplin dan sikap bertanggungjawab seseorang.
“Paling penting anak gayong hendaklah menjadi anak yang menghormati dan taat kepada ibu bapa atau penjaga selain patuh kepada ajaran agama Islam serta tidak meninggalkan solat di samping ibadat lain yang selalu dipesan oleh guru.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua anak gayong khusus yang terbabit dalam istiadat mandi perlimau ini supaya terus bersemangat dan istiqamah untuk belajar serta berlatih dalam apa jua pelajaran termasuk ilmu pertahanan diri pada masa akan datang,” ujarnya lagi. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Warga Belanda wanita cedera diusung dari Gunung Jasar, Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS : Seorang warganegara Belanda wanita berusia 51 tahun tercedera ketika mendaki diusung turun dari Gunung Jasar, dekat sini, kelmarin.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diketuai oleh Komandan Operasi, Wan Muhammad Faiz Wan Asri serta lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands bersama anggota polis telah pergi ke tempat kejdian pada jam 1.33 tengah hari, semalam
“Perjalanan dan mendaki anggota SAR mengambil masa tiga jam untuk sampai ke tempat mangsa wanita yang tercedera, manakala seorang rakan lelakinya tidak menglmi kecederaan.
“Seterusnya mangsa telah diberi rawatan awal dengan memasang satu ‘Lower Splint’ di bahagian lutut dan dibawa turun menggunakan pengusung, seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan selanjutnya pada jam 4.55 petang,” katanya hari ini.
Zulfadli berkata, pengunjung dari dalam atau luar negara lebih berhati-hati dan membuat persediaan yang secukupnya sebelum memulakan sebarang aktiviti luar dan peka serta patuh pada arahan semasa pihak berkuasa.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Juhari (enam dari kiri), AJK Perkim Bera dan Pengurusan PJMM, PJI, PJNH serta KESUMA ’24 merakamkan kenangan selepas melawat persekitaran tanah untuk tapak bangunan pusat jagaan yang akan dibuka.
Perkim Bera buka pusat warga emas
PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Bera, Pahang, melakukan pelbagai urusan dalam usaha membuka pusat jagaan warga emas di daerah berkenaan terutama selepas mendapat sokongan dan kerjasama banyak pihak untuk merealisasikan kerja amal kebajikan itu.
Selain mendapat perhatian bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, usaha itu juga turut menarik sokongan moral daripada Pegawai Daerah Bera, Datuk Ahmad Nasim Datuk Mohd Sidek yang dilantik sebagai penaung projek itu.
Pengerusi Perkim daerah itu, Juhari Abdul Kadir, berkata pelantikan pegawai daerah sebagai penaung memberi suntikan semangat kepada keseluruhan ahli jawatankuasa (AJK) pembukaan pusat jagaan berkenaan kerana akan membantu dalam urusan pengambilalihan tanah, pengukuran tapak dan sebagainya.
Juhari menunjukkan kawasan persekitaran pejabat Perkim Bera yang akan dibersihkan untuk penyediakan kawasan pusat jagaan.
Menurutnya, paling menggembirakan apabila ramai ahli jawatankuasa yang dilantik bagi menjayakan projek itu merupakan dalam kalangan profesional dan mereka yang berjaya dalam kerjaya masing-masing bersedia membantu serta berkongsi idea bagi memastikan pusat jagaan warga emas berjaya dibuka.
Tambahnya, keluasan tanah mendirikan bangunan kekal pusat jagaan itu sudah dikenal pasti cuma menunggu kerja peta topografi dilakukan oleh pihak bertauliah bagi mendapatkan kesahihan yang boleh diterokai atau diguna pakai.
“Ia juga bagi mengelak daripada termasuk dalam tanah rezab kerajaan kerana pusat jagaan ini berhampiran jalan utama Pekan Bera di samping memastikan selamat untuk mendirikan bangunan yang akan dilengkapi pelbagai kemudahan asas.
“Perkim dan ahli jawatankuasa projek ini perlu lebih cakna dalam meneliti pelbagai perkara supaya tidak menganggu kepentingan awam kerana apabila bangunan pusat jagaan didirikan ia akan kekal lama di situ di samping memerlukan sokongan dan kerjasama masyarakat setempat untuk beroperasi,” ujarnya ketika memberi taklimat ringkas kepada pengurusan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) dan Pusat Jagaan Insan (PJI), Semenyih, Selangor serta Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor di Pejabat Perkim daerah itu baru-baru ini.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengerusi PJI, Muhammad Syafiq Mohiadin; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; serta AJK Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24), Zaiton Yaacob, Norizan Tauhid, Setiausaha Rozita Yaakob; dan Pegawai Sosial Perubatan Hospital Bera, Azhar Ahmad hadir dalam taklimat berkenaan di samping melihat tapak untuk dibangunkan bangunan pusat jagaan itu.
Juhari berkata, sebaik sahaja kerja peta topografi siap sepenuhnya Perkim Bera akan mengusulkan segera permohonan kepada pelbagai pihak berkuasa terbabit bagi mendapatkan kelulusan yang mungkin akan melalui banyak tapisan sebelum kebenaran diberikan.
Menurutnya, Perkim Bera akur setiap peraturan atau syarat yang ditetapkan pihak berkuasa terbabit kerana pusat jagaan itu nanti akan menempat warga emas yang tersisih, orang kelainan upaya (OKU), gelandangan, sebatang kara, uzur dengan menghidap penyakit dan sebagainya.
Tambahnya, walaupun akan diuruskan di bawah kerja amal kebajikan namun warga emas yang akan ditempatkan perlu mendapat kebenaran daripada ahli keluarga atau sanak saudara, direkodkan untuk makluman pihak berkuasa terbabit bagi mengelak berlaku perkara berbangkit.
“Pusat jagaan ini bukan setakat menjaga warga emas dari segi makan, minum, pakaian dan mendapatkan rawatan kesihatan sahaja, mereka juga akan mengikuti aktiviti keagamaan seperti kelas agama dan mengaji kerana pusat tahfiz juga akan diwujudkan.
“Kami berharap pusat jagaan ini dapat beroperasi pertengahan tahun 2025 dan untuk permulaan Perkim Bera akan mengambil kira-kira 50 warga emas sahaja, bagaimanapun ia bergantung kepada prasarana yang bakal disediakan demi keselesaan mereka,” ujarnya lagi.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Nurshahirah Ashaari (tiga dari kanan) bersama-sama rakan menyantuni warga emas dalam aktiviti mewarna.
24 pelajar UPSI guna kaedah SULAM dampingi warga emas
Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) merupakan satu keadah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti yang membabitkan pelajar berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat.
Sehubungan itu, 24 pelajar Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka belajar dalam bilik kuliah untuk membuat SULAM bagi subjek psikologi penuaan.
Untuk tujuan itu mereka bersama Pensyarah fakulti berkenaan, Dr Asma Perveen mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, bagi menjayakan Program Mahasiswa Bersama Komuniti: Sejahtera Pada Usia Emas baru-baru ini.
Pelajar Fakulti Pembangunan Manusia UPSI merakam kenangan bersama-sama warga emas PJMM selepas Program Mahasiswa Bersama Komuniti: Sejahtera Di Usia Emas,
baru-baru ini.
Ketua program itu, Nurshahirah Ashaari, berkata dia bersama rakan-rakan akan mengaplikasikan dengan menggunakan secara amali untuk mempraktikkan lagi apa yang dipelajari dalam bilik kuliah dengan menyantuni warga emas di PJMM yang mempunyai pelbagai kisah hidup sama ada duka atau gembira.
Menurutnya, kami beramah mesra dengan warga emas menerusi bahasa pertuturan atau emosi yang lemah lembut supaya dapat memahami permasalahan yang dilalui dalam kehidupan mereka sebelum terdampar di PJMM sehingga ada disisihkan terus oleh ahli keluarga.
Tambahnya, sesetengah apa yang diceritakan oleh warga emas terbabit mengenai kisah hidup mereka memang menyentuh hati semua sehingga membuat bergenang air mata dan ini antaranya membuktikan keberkesanan apabila kita berada di lapangan dalam membuat SULAM.
Jelasnya, seperti dalam sesi berkaraoke warga emas, Pakcik Harun Abdullah menyampaikan lagu ‘Pujaan Hatiku’, disusuli Makcik Asiah Mashar mengalunkan lagu ‘Jeritan Batinku’ dan Pakcik Ariffin menerusi lagu ‘Bimbang Serumpun Kasih Terbuang’ dengan wajah sayu berlinangan air mata yang mengambarkan luahan emosi mereka mengenangkan kisah hidup pada masa lalu.
“Ini semua memberi satu kefahaman kepada psikologi untuk mengetahui mengenai minda dan ingatan serta emosi seseorang termasuk dalam kalangan warga emas mengingati kisah silam menerusi lagu yang dinyanyikan,” ujarnya ketika ditemui pada program itu.
Pada program itu, pelajar terbabit mengadakan sesi perkenalan dan beramah mesra dengan warga emas serta aktiviti permainan mengikut kumpulan seperti membuat jalinan tikar kertas, baling gelung kertas dan mewarna.
Seorang pelajar, Nurul Rabiatul Adawiyah Ibrahim, berkata dia dapat mempelajari bagaimana kehidupan warga emas di pusat jagaan berkenaan dalam kalangan pelbagai usia dan saling membantu kerana sudah uzur serta menghidap pelbagai penyakit.
Menurutnya, apabila disantuni dengan membabitkan dalam aktiviti diadakan itu terpancar kegembiraan serta hubungan erat sesama mereka yang amat merindui suasana berlibur kerana mungkin dapat menghilangkan tekanan perasaan terperap di PJMM.
“Ini semua pendedahan yang bermanfaat kepada kami apabila dapat mempraktikkan dalam psikologi warga emas pada peringkat penuaan yang amat memerlukan perhatian serta kasih sayang seseorang.
“Justeru bagi seorang anak atau saudara mara terdekat yang memiliki ibu bapa atau penjaga menghuni pusat jagaan amat wajar datanglah menjenguh mereka untuk bertanya khabar dan sebagainya yang sekurang-kurangnya mereka ini sedar masih ada orang mempedulikan nasib mereka,” ujarnya lagi.
Manakala Dr Asma pula berkata, program itu merupakan pendedahan terbaik kepada pelajar untuk mempraktikkan secara amali dalam meningkatkan kefahaman mengkaji masalah dari segi emosi dan mental warga emas.
“Saya memberi kebebasan kepada mereka untuk melakukan aktiviti supaya dapat memahami psikologi penuaan seseorang yang lanjut usia dan apakah yang perlu dilakukan untuk mengimbangi kehidupan warga emas supaya berada dalam keadaan tenang dan tidak terlalu stres.
“Kaedah SULAM yang mereka bawakan ini membantu pelajar dalam menjadi seorang yang cemerlang dalam pelajaran dan akan berjaya apabila berada di lapangan bagi menyantuni komuniti selepas tamat pengajian nanti,” jelasnya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Kenderaan yang membawa mangsa ke Unit Forensik, Hospital Lipis, kelmarin.
Pemuda maut disondol babi hutan ketika memburu
LIPIS : Seorang pemuda Orang Asli maut disondol babi hutan ketika memburu dalam kejadian yang berlaku d kawasan ladang sawit Lombong Selinsing, Pos Sinderut, dekat sini kira-kira jam 1.00 tengah hari, kelmarin.
Mangsa, Johan Yok Boi (25)yang maut disondol babi hutan
Mangsa, Johan Yok Boi (25) bersama lima orang rakan telah masuk memburu babi hutan di kawasan ladang sawit tersebut kira-kira jam 10.00 pagi hari yang sama.
Gara-gara lembing dilontarkan oleh mangsa ke arah seekor babi hutan tidak mengena, pemuda itu dikejar dan disondol haiwan itu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, Balai Polis Sungai Koyan menerima laporan daripada seorang pengadu, Rasil Yok Len (32) memaklumkan rakannya cedera setelah diserang haiwan itu.
“Ketika menghendap haiwan itu, rakannya cuba mendekati seekor babi dan melontar lembing ke arah babi tersebut tetapi tidak mengena sasaran.
“Tiba-tiba babi itu telah mengamuk dan menyerang rakannya , akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian peha akibat ditusuk taring babi,” katanya..
Ismail berkata, dia dan tiga lagi rakannya telah membawa mangsa yang mengalami kecederaan ke Klinik Kesihatan Sungai Koyan untuk menerima rawatan.
“Mangsa telah meninggal dunia di Hospital Lipis akibat serangan haiwan itu pada jam 5.55 petang semalam,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kenderaan terkandas, treler gagal daki bukit halang laluan
JERANTUT : Kejadian sebuah treler yang gagal mendaki Bukit Mentimun, Jalan Jerantut- Kuala Tembeling menghalang pengguna melalui jalan raya itu dari kedua-dua arah berlaku pada jam 3.00 semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Zukri Muhammad berkata, trailer tersebut dengan muatan tandan sawit telah terkandas di bukit Mentimun akibat tidak lepas mendaki bukit di lokasi kejadian.
“Anggota Balai Polis Kuala Tembeling telah dihubungi untuk meletakkan kon PDRM sebagai tanda amaran awal jalan tidak boleh dilalui.
“Anggota polis trafik ke lokasi kejadian bagi membantu membuat kawalan lalulintas di lokasi sementara menunggu trak tunda untuk mengalih treler berkenaan,” katanya hari ini.
Katanya, tiada sebarang kecederaan berlaku paada kejadian itu.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Sebuah syarikat swasta dari Kelang, Selangor menyumbangkan kontena sepanjang 40 kaki untuk dijadikan pejabat operasi supaya tugasan membantu masyarakat dilaksanakan dengan lancar.
KESUMA’24 perlukan sokongan untuk terus laksana aktiviti amal kebajikan
KELAB Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) mencari penyumbang dan penginfak untuk membantu mangsa bencana alam seperti banjir yang secara tidak langsung menjadi pihak perantaraan kepada badan korporat, agensi kerajaan dan swasta serta NGO lain dalam menyalurkan bantuan.
Kelab itu yang bernaung di bawah Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) yang beralamat di Lot 459/5, Kampung Sungai Purun, Batu 1 ½ Jalan Bangi, Semenyih, Selangor kini semakin aktif dalam membela nasib masyarakat dan mereka yang memerlukan bantuan.
Mangsa banjir di Kepala Batas, Kedah yang menerima barangan makanan keperluan asas hasil sumbangan dan infak pelbagai pihak yang diagihkan KESUMA’24.
Pengerusinya, Rosdi Ismail berkata, sebelum ditubuhkan pada Mac 2024 sebagai sebuah kelab secara rasmi, ramai sukarelawan KESUMA’24 membantu PKMM dalam aktiviti amal kebajikan seluruh negara.
Menurutnya, ahli KESUMA’24 mengikuti pelbagai misi yang dianjurkan PKMM berkenaan seperti agihan bakul makanan barangan keperluan asas kepada keluarga miskin, asnaf, rumah anak yatim, pusat atau pondok tahfiz dan mangsa banjir.
Jelasnya, seperti mangsa banjir hasil sumbangan serta infak pelbagai pihak mereka mengagihkan bakul makanan barangan keperluan asas antaranya di Temerloh, Pahang: Tumpat, Kelantan: Kota Tinggi, Johor: Hulu Langat, Selangor: Jitra, Kedah: Jerteh, Terengganu dan sebagainya.
“Semua tugas sukarela ini dilakukan dengan penuh amanah dan bertanggungjawab bagi memastikan sumbangan serta infak daripada pelbagai pihak itu sampai ke sasaran sebagaimana hasrat mereka yang bekerjasama dengan KESUMA’24,” ujarnya.
Rosdi berkata, kegigihan dan sikap bertanggungjawab KESUMA’24 itu menarik perhatian sebuah syarikat swasta dari Kelang, Selangor menyumbangkan kontena sepanjang 40 kaki untuk dijadikan pejabat operasi supaya tugasan membantu masyarakat dilaksanakan dengan lancar.
Menurutnya, kontena yang belum dilengkapi kemudahan bekalan elektrik akan dijadikan pejabat, bilik mesyuarat ahli KESUMA’24 dan stor untuk menyimpan barangan serta peralatan apabila keluar untuk mengadakan misi amal kebajikan.
Terang beliau, kontena itu juga akan dipasang bumbung untuk melindungi bahagian atas daripada hujan serta panas terik supaya kekal lama, manakala persekitarannya pula akan diturap tar atau disimen untuk dijadikan medan bagi warga emas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) menjalankan aktiviti senaman dan sebagainya.
“Sehubungan itu KESUMA’24 amat berharap mendapat sokongan serta infak daripada pelbagai pihak dan masyarakat dalam projek Bantuan Sumbangan Dana Pembangunan yang boleh disalurkan terus ke akauan KESUMA’24 bernombor 100 7621 0000 12282 (Kelab Sukarelawan Mahmudah) Agro Bank, Semenyih, Selangor atau scan Kod QR. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi nombor telefon Rozita (013-447 3585) dan Aizam Ambak (016-276 6584),” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Treler melintang laluan ke Kuala Tembeling, orang ramai berhati-hati
JERANTUT – Orang ramai yang menggunakan laluan ke Kuala Tembeling berhati-hati kerana berlaku sebuah treler yang gagal mendaki Bukit Mentimun dan melintang di atas jalan itu, kir-kira jm 7.00 pagi ini.
Sehingga sekarang dilaporkan hanya kenderaan kecil boleh melalui kawasan sempit yang melepasi kawasan kejadian.
Seorang pengguna laluan itu yang dikenali Suhaimi berkata, kawasan laluan berbukit ke Kuala Tembeling atau sebaliknya memang kerap berlaku kejadian kenderaan berat yang sering tersangkut berlaku.
“Apabila berlaku kejadian seperti ini mengakibatkan pengguna laluan itu terganggu sehingga kenderaan berat itu dialihkan.
“Kadang-kadang terganggu sehingga berjam-jam untuk melepasi kawasan itu selepas kenderaan dialihkan,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : ANGGOTA APM membantu menghantar 11 calon SPM ke SMK Kampung Raja dekat sini, berikutan jalan ditutup ekoran berlaku tanah runtuh. ihsan APM Cameron Highlands
11 calon SPM SMK Kampung Raja naik trak APM ke sekolah
CAMERON HIGHLANDS : Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu menghantar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Raja dekat sini, berikutan jalan ditutup ekoran berlaku tanah runtuh.
Kejadian tanah runtuh itu berlaku di Jalan Besar Kampung Raja, Simpang Tiga, Blue Valley, Cameron Highlands pada jam 3.15 pagi ini.
Pegawai APM Daerah Cameron Highlands , Leftenan (PA) Md Hazli Hanifah Mohd Hanafi berkata, seramai 11 calon SPM dari SMK Kampung Raja diangkut ke sekolah berkenaan menggunakan beberapa buah trak.
“Calon yang tinggal di sekitar Prima Kampung Raja, Blue Valley dan sekitar Lojing dibantu untuk diangkut ke sekolah berkenaan pada jam 7.30 pagi.
“Kejadian tanah runtuh itu berlaku dipercayai telah mengalami kejadian hujan lebat yang berterusan bermula dari petang semalam sehingga pagi ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!