Harimau belang berkeliaran, penduduk Kuala Tahan diminta berhati-hati
Harimau belang berkeliaran, penduduk Kuala Tahan diminta berhati-hati
JERANTUT: Orang ramai dan penduduk sekitar Kuala Tahan serta perkampungan di pesisir Sungai Tembeling diminta meningkatkan tahap kewaspadaan susulan kemunculan seekor harimau belang yang dilaporkan berkeliaran di Jalan Ulu Tembeling, berhampiran FELCRA Ulu Tembeling, kira-kira jam 7 malam semalam.
Seorang penduduk Kuala Tahan, Sabri Abdul Rahman berkata, kelibat harimau tersebut bukan kali pertama dilihat di kawasan berkenaan, malah kehadiran haiwan liar seperti gajah juga kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
“Penduduk sudah biasa melihat kemunculan haiwan liar di kawasan ini, namun kehadiran harimau belang amat membimbangkan, memang ketika dilihat, haiwan itu kelihatan santai berada di kawasan tinggi di bahu jalan.
“Namun, kami bimbang jika ia bertindak agresif, terutama pada waktu malam, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mengelakkan pergerakan bersendirian,” katanya.
Menurut beliau, pihak berkuasa berkaitan diharap dapat mengambil tindakan segera bagi menangani situasi itu, termasuk memindahkan haiwan berkenaan ke kawasan yang lebih selamat.
“Tindakan segera perlu diambil demi keselamatan penduduk dan juga kesejahteraan haiwan liar tersebut,” katanya.
Sementara itu, kelibat harimau belang berkenaan sempat dirakam oleh seorang pemilik akaun media sosial dikenali sebagai Bantalku Channel, sebelum video tersebut tular dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat.- SAHIH.

