JERANTUT SYURGA DURIAN KAMPUNG

Jerantut dibanjiri durian.

Jerantut bakal dibanjiri durian akhir minggu ini dengan harganya turut dijangka rendah serta memberi khabar gembira kepada kaki durian dari dalam dan luar daerah ini tidak lama lagi.

Bekalan durian pelbagai spesis dan klon yang datang dari sekitar daerah itu sudah mula dijual dua minggu lalu dengan harga yang agak tinggi tetapi diramalkan bekalan akan banyak dan harga akan menjadi rendah.

Ketika ini harga durian kampung sebanyak RM10 sekilogram (kg), Musang King sekitar RM45, IOI (RM25), lain-lain durian klon sekitar RM20.

Peniaga durian di bandar ini, Zainuddin Omar, 64 berkata bekalan durian bakal banyak menjelang akhir minggu ini dan dijangka harga turut rendah.

“Dijangkakan bekalan durian akan banyak diterima daripada pekebun sekitar daerah ini, khususnya dari Kampung Damak, Batu Balai, Ulu Cheka, Perlok, Jerangsong serta bekalan dari luar daerah,”katanya.

Seorang lagi peniaga durian, Syatirah Zainuddin, 28, berkata bekalan durian yang mula meluruh sejak dua minggu lepas dengan bekalan yang terhad mengakibat dia mendapat harga yang tinggi daripada pembekal pekebun durian.

“Mungkin harga akan rendah dengan bekalan yang bakal banyak menjelang minggu ini diterima daripada pekebun kecil sekitar daerah ini,”katanya.