Aqil belum selesa guna kaki palsu sumbangan KBS
Aqil belum selesa guna kaki palsu sumbangan KBS
JERANTUT – Muhammad Aqil Naufal Zaharin masih belum selesa menggunakan kaki palsu yang disumbangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berbanding tongkat yang biasa digunakan untuk ke sekolah Program Pendidikan Inklusif Penuh di Felda Lepar Utara Satu.
Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berusia 11 tahun itu yang berlari dalam acara 100 meter bersama gurunya di Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut 2023 yang ditularkan videonya , mendapat perhatian KBS baru-baru ini.
Bapa saudaranya, Abdul Mutalib Mat Desa (62) berkata, mungkin Aqil belum sesuai dan memerlukan masa untuk menggunakan kaki palsu itu sepenuhnya.
“Anak saudara saya cuma mampu menapak perlahan-lahan dan tidak mampu mengangkat bahagian kaki palsu yang disumbangkan itu dan perlu melakukan latihan selalu.
“Terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh atas sumbangan ini, agaknya Aqil belum biasa untuk ‘mengawal’ mekanikal kaki palsu menyebabkan Aqil sukar bergerak,’ katanya ketika diteumui di rumahnya di Felda Lepar Utara 2.
Sementara itu, Ibu murid OKU itu, Noor Hafizah Mat Desa, 36, berkata, dia kerap memberikan galakan dan semangat kepada anaknya agar terus cuba memakai serta menyesuaikan diri memakai kaki palsu itu ketika berada di rumah.
“Saya memaklumkan kepada Aqil supaya berlatih perlahan-lahan memakai kaki palsu yang berharga RM12,500 di rumah supaya dapat menyesuaikan diri dan yakin ini mengambil sedikit masa bagi membolehkan dia bergerak dengan selesa.
“Namun, ketika ini, Aqil masih terus bermain bola sepak dengan menggunakan tongkat kerana dia berminat dengan sukan tersebut serta berterima kasih kepada kerajaan, Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA) dan semua pihak yang memberikan penghargaan serta galakan kepadanya supaya maju dalam pelajaran dan sukan,” katanya.
Katanya, anaknya itu mengalami jangkitan kuman di kaki ketika berusia 3 tahun pada tahun 2015 dan memerlukan pembedahan membuang keseluruhan kaki sebelah kiri sehingga hampir ke paras pinggang sebelum ini di Hospital Kulim dan Pulau Pinang.-SAHIH.