Ahli Parlimen Raub, Pengerusi SAMKA Ditahan Polis Berhubung Isu Ladang Durian
Foto : Yu Hui (dua dari kiri) bersama Chang (paling kanan) ditemani peguam masing-masing ketika hadir ke IPD Raub untuk dirakam keterangan. – Foto ihsan SAMKA
Ahli Parlimen Raub, Pengerusi SAMKA Ditahan Polis Berhubung Isu Ladang Durian
RAUB : Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, dan Pengerusi Perikatan Selamatkan Musang King (SAMKA) , Wilson Chang, telah ditahan polis ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, petang ini.
Menurut seorang pembantu kepada Chow, kedua-dua mereka ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas, kira-kira jam 4 petang.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimuat naik ke Facebook dan dimaklumkan kepada media secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.
Penahanan itu turut disahkan oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, menerusi kiriman teks ringkas kepada pihak media.
Semalam, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Shahril Abd Rahman, memaklumkan bahawa Chow dan empat individu lain akan dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kejadian semasa operasi penguatkuasaan di sebuah ladang durian berhampiran Sungai Klau.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 berdasarkan tiga laporan polis yang diterima susulan insiden tersebut.
Insiden itu berlaku minggu lalu apabila berlaku ketegangan antara para pekebun durian dan pegawai kerajaan negeri yang sedang menjalankan operasi menebang pokok durian Musang King di tanah yang didakwa dipertikaikan statusnya.
Chow, yang juga penasihat SAMKA, sebelum ini lantang mempertahankan hak pekebun durian tempatan yang berdepan dengan tindakan penguatkuasaan oleh kerajaan negeri. – SAHIH.