AGIHAN BAKUL MAKANAN UNTUK KAWASAN PKPD
AGIHAN BAKUL MAKANAN UNTUK KAWASAN PKPD
KUANTAN: Seramai 4,056 penduduk di kawasan Taman Tas, Pandan Permai dan Lubuk Puyu, dekat sini yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 16 Julai lalu, menerima agihan bakul makanan dari pejabat Ahli Parlimen Paya Besar, hari ini.
Proses pengagihan itu adalah antara usaha untuk memastikan setiap keluarga yang terjejas mempunyai bekalan makanan di kediaman mereka.
Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah berkata, pengagihan bakul makanan kepada penduduk terbabit adalah kesinambungan bantuan disalurkan sebelum ini, memandangkan PKPD di kawasan berkenaan disambung sehingga 14 Ogos ini.
“Jadi, situasi di Taman Tas adalah sedikit berbeza dengan kawasan dikenakan PKPD lain kerana biasanya (PKPD) hanya dua minggu, tapi mereka terpaksa melaluinya hingga empat minggu dan bantuan ini adalah untuk meringankan bebanan mereka.
“Walaupun ia belum mencukupi, tapi kita cuba lihat apa lagi yang boleh kita buat untuk membantu penduduk di kawasan terbabit,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan proses penghantaran bakul makanan di Dewan Abdul Manan, di sini, hari ini.
Sebanyak 10 lori membawa muatan barangan keperluan asas digunakan untuk melancarkan proses pengagihan bakul makanan itu.
Proses pembungkusan bakul makanan itu dilakukan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah melengkapkan dua dos vaksin masing-masing.
Mohd Shahar yang juga Timbalan Menteri Kewangan II berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, pihaknya sudah mengagihkan kira-kira 13,000 bakul makanan kepada penduduk sekitar Parlimen Paya Besar.
Katanya, perbincangan juga sedang dilakukan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan PKPD bagi membendung penularan COVID-19, selain untuk mencapai sasaran imuniti berkelompok menjelang hujung tahun ini.-SAHIH.