Affan pencipta muda lagu tema Hari Kebangsaan 2023
Affan pencipta muda lagu tema Hari Kebangsaan 2023
Muhammad Affan Mazlan, pencipta lagu ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ berjaya dipilih sebagai lagu tema Hari Kebangsaan Tahun 2023.
Muhammad Affan Mazlan lulusan diploma pada tahun 2020 dan ijazah sarjana muda (2023) dari Universiti Teknologi Mara (UITM) teruja menyertai pemilihan lagu tema Hari Kebangsaan 2023 yang dianjurkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mencari lagu tema baharu tahun ini.
“Setelah mengetahui RTM mencari lagu tema yang baharu, saya terus mengolah dan mencipta lagu serta sesuaikan dengan menyuntik elemen-elemen moden yang segar agar mempunyai nilai komersil yang boleh diterima masyarakat.
“Setelah siap lagu ciptaan saya mengikut konsep tema dan menulis lirik yang bersesuai dengan tema tahun ini, saya terus menghantar lagu ciptaan kepada urusetia lagu Tema Hari Kebangsaan 2023,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, ciptaan lagunya banyak mendapat inspirasi dari karya Edry Abdul Halim dan Faizal Tahir serta sering melakukan eksperimen dalam penciptaan lagu daripada pencipta terkenal tanah air dan luar negara.
“Karya-karya muzik di negara kita sudah semakin banyak kepelbagaiannya, kualitinya sudah semakin hebat, tidak mustahil karya-karya tanah air boleh sebaris dengan karya hebat bertaraf dunia.
“Pada ketika ini saya sedang aktif mencipta lagu dan bekerja dalam industri secara ‘freelance’ dan ‘post production’ serta sedang bekerja dengan artis-artis tanah air.,” katanya.
Affan yang dilahirkan di Seremban dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd Said, Seremban mula meminati bidang seni muzik sejak di bangku sekolah rendah dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian dan keutamaan kepada lagu-lagu nasyid.
“Apabila berada di sekolah menengah, selain dengan nyanyian lagu-lagu nasyid, saya mula meneroka alat muzik dan bermain piano.
“Saya terus aktif dalam penciptaan serta belajar mengenai gubahan lagu dan susunan muzik untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan dalam bidang ini walaupun sudah memiliki diploma dan ijazah sarjana muda muzik dalam bidang penciptaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail ketika dihubungi berkata, pada tahun ini buat julung kali RTM melakukan pencarian lagu tema daripada pencipta luar.
“Seramai 12 pencipta yang berpengalaman, antaranya Sharon Paul, JARI, Mohariz Yaakob, Nik Nizam, Is Wow dan beberapa orang pencipta lain turut menyertai dan menghantar lagu masing-masing.
“Pihak juri yang diketuai oleh saya sendiri, sebulat suara memilih lagu ciptaan Affan Mazlan seorang komposer muda lulusan UITM,” katanya.
Kataya, selepas meneliti lagu dan muziknya, pengubahsuaian lirik lagu dilakukan berdasarkan tema ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” dilakukan.
“Manakala gubahan muzik orkestra lagu ciptaan Affan, digubah oleh saya dan dirakam oleh orkestra RTM serta dinyanyikan oleh penyanyi Khai Bahar dan Aina Abdul.
“Pendekatan moden selain melodi yang mesra pendengar ditampilkan oleh Affan adalah keutamaan dan kekuatan dalam menerbitkan lagu tema hari kebangsaan tahun ini,” katanya.
Mokhzani yang mencipta lagu tema hari kebangsaan bagi tahun 1995, 1996, 1997, 1998, 1999, 2000, 2020 dan 2021 berharap ramai lagi pencipta muda akan tampil dengan ciptaan masing-masing bukan sahaja lagu tema hari kebangsaan tetapi lagu-lagu komersil. – SAHIH.