Wan Rosdy: Jangan Terburu-buru Salahkan Kerajaan Negeri
Wan Rosdy: Jangan Terburu-buru Salahkan Kerajaan Negeri
JERANTUT – Rakyat diminta tidak terburu-buru menyalahkan kerajaan negeri sekiranya permohonan mereka tidak dapat dipenuhi kerana setiap keputusan dibuat dengan mengambil kira kepentingan awam dan keperluan pembangunan negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha memenuhi permohonan rakyat, namun ada yang tidak dapat diluluskan apabila kawasan berkenaan telah diperuntukkan untuk projek kemudahan awam seperti sekolah, hospital, klinik kesihatan dan kem tentera.
“Sebagai kerajaan, kita tidak dapat memenuhi 100 peratus permohonan rakyat. Jika boleh diluluskan, kita akan luluskan, tetapi ada permohonan yang terpaksa ditolak demi kepentingan masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Generasi Kedua Felda Kota Gelanggi 1, 2 dan 4 di Dewan Majlis Daerah Jerantut, di sini, hari ini.
Menurutnya, orang ramai diharap memahami keadaan itu dan tidak membuat tuduhan bahawa kerajaan tidak mengambil berat terhadap kebajikan rakyat.
Dalam majlis sama, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri kekal komited mempercepatkan penyerahan suratan hak milik kepada peneroka serta generasi baharu Felda.
Katanya, penyerahan bagi Felda Kota Gelanggi 1, 2 dan 4 dilaksanakan secara berperingkat, manakala Kota Gelanggi 3 dijangka menyusul dalam masa terdekat.
Beliau turut memaklumkan lebih 42,000 daripada lebih 43,000 peneroka Felda di Pahang telah menerima suratan hak milik, dengan baki kira-kira 0.05 peratus dijangka diselesaikan tahun ini.

Norizzati Mohd Salim, 33, dari Felda Kota Gelanggi 3, melahirkan rasa syukur apabila akhirnya memiliki tanah sendiri dan bercadang membina rumah selepas ini.
Sementara itu, penerima, Norizzati Mohd Salim, 33, dari Felda Kota Gelanggi 3, melahirkan rasa syukur apabila akhirnya memiliki tanah sendiri dan bercadang membina rumah selepas ini.
“Selama ini saya menumpang di rumah ibu bapa. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin terhadap generasi kedua Felda,” katanya. – SAHIH
