Masjid 101 tahun dinaik taraf
Masjid 101 tahun dinaik taraf
Hasil kesepakatan pemimpin masyarakat, komuniti dan Ahli Jawatankuasa (AJK), Masjid Al-Falihin yang berusia lebih 101 tahun berjaya dinaik taraf selepas melalui proses pengubahsuaian selama satu tahun setengah dan siap sepenuhnya pada Disember 2025.
Usaha menaik taraf rumah ibadat khususnya masjid bertujuan meningkatkan keselesaan jemaah, memastikan kelestarian struktur bangunan lama serta menyesuaikan kemudahan dengan pertambahan kariah. Langkah itu bukan sahaja memperindah rumah Allah dan menyuburkan semangat beribadah, malah menjadi satu bentuk pelaburan akhirat melalui sedekah jariah, lebih bermakna apabila ia mula dimanfaatkan menjelang Ramadan.
AJK masjid serta penduduk merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang memantau projek tersebut sehingga siap mengikut jadual.
Pengerusinya, Mohamad Isa Nordin berkata, kerja membaik pulih dilakukan selepas beberapa struktur kayu reput dimakan anai-anai dan berisiko menjejaskan keselamatan jemaah. Antara skop utama ialah pembaikan ruang solat, penukaran empat tiang seri, kubah, jendela serta naik taraf tandas dan ruang legar kiri dan kanan.
Menurut beliau, kerja baik pulih dilaksanakan dengan teliti bagi mengekalkan seni warisan masjid lama yang turut tersenarai di bawah United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). Pengiktirafan itu menjadi kebanggaan penduduk kerana masjid berkenaan diiktiraf sebagai tapak warisan budaya yang perlu dipelihara.
Katanya, selepas dinaik taraf, masjid kini mampu menampung antara 500 hingga 600 jemaah pada satu-satu masa termasuk solat Jumaat, berbanding sebelum ini. Ketika kerja pengubahsuaian dijalankan, sebahagian jemaah menunaikan solat Jumaat di Surau Bukit Punggur dan Madrasah At-Taalim Pengkalan Jajar, Alai.
Projek bernilai RM1.5 juta itu turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang melawat masjid berkenaan pada 24 Januari 2026. Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kejayaan projek itu membuktikan kesepakatan penduduk dalam memakmurkan institusi agama.
Penduduk juga akan mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan masjid pada 15 Februari 2026 sebagai persediaan menyambut Ramadan.-SAHIH.
