50 murid, pelajar terima sumbangan kelengkapan persekolahan
50 murid, pelajar terima sumbangan kelengkapan persekolahan
BALAKONG – Kenaikan kos sara hidup dan kekangan kewangan menyebabkan tidak semua keluarga mampu menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak apabila sesi persekolahan 2026 bermula awal Januari lalu, khususnya dalam kalangan keluarga miskin, asnaf dan B40.
Situasi itu menyukarkan ibu bapa memenuhi keperluan asas persekolahan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai tanggungan ramai dan sumber pendapatan terhad.

Ketua Pegawai Komersial ikhlas com, Salman (kiri) menyerahkan sumbangan wakalah zakat pendidikan kepada seorang pelajar sambil diperhatikan Anuar Omar (dua dari kanan).
Bagaimanapun, seramai 50 murid dan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menarik nafas lega apabila menerima sumbangan kelengkapan persekolahan menerusi Program Ikhlas Com Untukmu – Back To School.
Program sumbangan wakalah zakat pendidikan itu melibatkan murid sekolah rendah serta pelajar sekolah menengah lelaki dan perempuan, hasil kerjasama Persatuan Penduduk Taman Impian Ehsan 3 (PPIE3), Balakong, Seri Kembangan, Selangor. Program tersebut berlangsung di Dewan Taman Impian Ehsan 3 pada 17 Januari 2026.
Pengerusi PPIE3, Anuar Omar, berkata sumbangan berupa beg sekolah, kasut, stoking, tudung dan keperluan lain itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban ibu bapa yang dikenal pasti kurang berkemampuan.
Menurutnya, walaupun ada anak-anak yang terpaksa memakai pakaian seragam lama tanpa mengeluh, namun sebagai ibu bapa mereka tetap mahu anak memulakan sesi persekolahan baharu dengan perasaan gembira dan bersemangat.
“Sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat mengelakkan murid berasa rendah diri atau terasing apabila melihat rakan-rakan hadir ke sekolah dengan kelengkapan baharu,” katanya.
Sementara itu, seorang bapa penerima sumbangan, Muhammad Hisyam Abu Bakar, berkata bantuan wakalah zakat pendidikan berkenaan amat bermakna dalam meringankan bebannya menyediakan keperluan sekolah anaknya yang kini berada di Tahun Empat.
Katanya, keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan dia terpaksa berjimat dalam perbelanjaan harian.-SAHIH.
