PUSPANITA KKR manfaat sumbangan kepada yang memerlukan
Foto atas : Rosmawati (duduk kiri) bersama-sama Ahli PUSPANITA Cawangan KKR, JKR dan CIDB merakamkan kenangan dengan warga emas Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor.
PUSPANITA KKR manfaat sumbangan kepada yang memerlukan
Wang yang diinfak penyumbang kepada tabung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dimanfaatkan semula untuk mereka yang memerlukan bantuan sebagaimana diuar-uarkan Kerajaan Madani.
Pengerusi PUSPANITA Kementerian Kerja Raya (KKR), Datin Seri Rosmawati Hassan, berkata saranan yang disuarakan Yang Dipertua PUSPANITA Kebangsaan, Datin Sri Maheran Jamil dalam satu majlis baru-baru ini wajar diberi perhatian semua pucuk kepemimpinan PUSPANITA kerana masih ramai insan yang memerlukan pembelaan.
Rosmawati Hassan (empat dari kiri) melakukan gimik penyerahan barangan keperluan asas kepada Mohiadin.
Menurutnya, Yang Dipertua mahukan PUSPANITA bergerak aktif membantu masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum kerana mereka berhak menerima sumbangan yang diinfak penyumbang kepada PUSPANITA.
“Bagi pusat jagaan warga emas adalah tidak mampu untuk kita menjaga atau mengurus mereka, maka adalah bermanfaat jika PUSPANITA menghulurkan sumbangan yang diperlukan pihak pengurusan sebagai meringankan bebanan kos operasi,” ujarnya ketika menyuarakan saranan Yang Dipertua PUSPANITA.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ziarah Kasih anjuran PUSPANITA Cawangan KKR di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, baru-bru ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengurus PJNH, Kairul Ahmad; dan wakil serta ahli PUSPANITA cawangan dari Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan pesara.
Program CSR berkenaan dimulakan dengan sesi suai kenal bersama pengurusan PJNH, warga emas, aktiviti permainan menyantuni penghuni yang dikendalikan oleh Setiausaha PUSPANITA Cawangan JKR, Normawati Mohamad, menukar cadar tilam dan diakhiri dengan makan tengah hari serta penyampaian sumbangan barangan keperluan asas disamping wang derma.
Rosmawati berkata, program CSR berkenaan merupakan usaha biro kebajikan PUSPANITA itu dalam merealisasikan kerja amal kebajikan serta menunjukkan keprihatinan KKR menjalinkan hubungan dengan masyarakat luar termasuk mereka yang memerlukan pembelaan dan bantuan sokongan.
Menurutnya, usaha itu menepati saranan Yang Dipertua PUSPANITA Kebangsaan yang menyarankan supaya wang sumbangan orang ramai digunakan atau dipulangkan semula kepada masyarakat menerusi program SCR termasuk di pusat jagaan warga emas sebagaimana diuar-uarkan Kerajaan Madani sekarang.
Justeru itu, tambahnya, program CSR berkenaan juga menjadi platform untuk PUSPANITA cawangan KKR meneruskan jalinan hubungan silaturahim dengan PJNH di samping sebagai penghargaan kepada pengurusan serta petugas yang jujur dan bertanggungjawab menjaga warga emas.
“Saya juga amat berharap program SCR ini turut membuka minda dan kesedaran serta memupuk semangat kepada ahli untuk bertanggungjawab menjaga ibu bapa selagi mereka masih hidup,” ujarnya. -SAHIH.