Nasi kebuli hidangan istimewa Kuala Kenong
Nasi kebuli hidangan istimewa Kuala Kenong
LIPIS – Sejarah nasi kebuli menjadi hidangan istimewa ketibaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Mahmud Shah bersama 60 orang pengikutnya yang mudik ke pekan Kuala Lipis dan berhenti di Kuala Kenong ketika itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Ganding dekat sini, Nadzri Kamaludin (56) berkata, mengikut sejarah Nasi Kebuli diperkenalkan pada tahun 1944 oleh seorang penduduk dari Kampung Kenong dikenali Hussin.
Katanya, apabila Almarhum Sultan Mahmud Shah berhenti di Kuala Kenong, baginda bertemu dengan Hussin dan menyatakan hasrat ingin makan nasi berlaukkan ayam kampung.
“Hussin setelah menerima titah baginda mula memikirkan jenis masakan untuk dihidangkan kepada baginda.
“Setelah memikirkan jenis masakan dan mahukan masakan nasi yang berbeza dengan kampung lain sebagai kenangan buat baginda, maka tercetuslah masakan atau resepi nasi kebuli yang ketika itu belum ada nama.
Katanya, bermula sejak itu, nasi kebuli yang berasal dari Kampung Kenong menjadi hidangan istimewa penduduk di sini tetapi mula tersebar ke kampung berdekatan dalam Mukim Cheka dan juga daerah berdekatan di negeri ini.
“Nasi kebuli sering menjadi hidangan majlis kenduri kahwin, sambutan hari raya atau program tertentu sebagai satu hidangan istimewa,” katanya.
Salah seorang tukang masak nasi kebuli di program sambutan rombongan Tengku Mahkota Pahang baru-baru ini, Norlaila Sani (55) dari Kampung Kenong berkata, bahan-bahan masakan untuk nasi kebuli sangat mudah didapati.
Katanya, antaranya, beras wangi sekilogram (4 pot) , seekor ayam kampung, dua sudu lada hitam, dua sudu ketumbar, 10 ulas bawang merah, dua inci halia, tiga batang serai, dua inci lengkuas dan satu inci kunyit hidup.
“Selain itu, empat biji bawang merah, sebiji bawang besar, dua sudu kecil serbuk kunyit, dua sudu lada hitam, dua sudu jintan manis dan satu sudu besar garam dan tiga cawan air.
“Hiris halus bahan-bahan tersebut kemudian masukkan kesemuanya ke dalam periuk bersama lada hitam, ketumbar, jintan manis, serbuk kunyit, lada hitam dan garam serta tiga cawan air.
Kata Norlaila, masukkan ayam yang siap dicuci bersih dan biarkan ayam mendidih kira-kira 20-30 minit dan padamkan api, biarkan ayam terperap di dalam air rebusan, lagi lama lagi sedap.
“Panaskan minyak kelapa untuk menggoreng ayam yang diperap, jangan terlalu lama. nampak kuning saja boleh diangkat ayam tersebut dan tinggalkan anggaran satu senduk minyak goreng ayam tadi.
“Kemudian goreng beras yang siap dibasuh dan ditoskan selepas itu .goreng hingga beras nampak macam retak dengan menggunakan air rebusan ayam,’ katanya.
Katanya, daun tutor berperanan untuk menaikkan aroma wangi nasi dan juga membungkus nasi tersebut untuk dijadikan bekalan dan boleh tahan sehingga kira-kira tiga hingga lima hari dan tidak basi.
“Rasa nasi kebuli tidak sama dengan nasi minyak walaupun nampak sama berwarna kekuning-kuningan kerana tidak menggunakan bahan yang sering digunakan untuk menyediakan nasi minyak. Kini, ada resepi nasi kebuli diubahsuai mengikut kesesuaian majlis dan setempat.-SAHIH.