DAERAH JERANTUT KAYA DENGAN PRODUK PELANCONGAN
DAERAH JERANTUT KAYA DENGAN PRODUK PELANCONGAN
PENGUSAHA SUSUN STRATEGI DENGAN KREATIF UNTUK MENARIK PENGUNJUNG SEBELUM PANDEMIK INI TAMAT.
Daerah Jerantut yang terkenal dengan Gunung Tahan setinggi 2,187 meter (7,175 kaki) dari paras laut dan tertinggi di semenanjung, sudah terkenal kepada pengunjung dan penggemar kawasan tanah tinggi untuk pendaki terutama dari luar negara.
Selain itu, terdapat Bukit Merah, Bukit Seladang, Bukit Panau, Bukit Batu dan Ferrata Paya Gunung yang terletak tidak jauh dari bandar dan mudah untuk pergi boleh ditawarkan kepada pengunjung luar yang berminat untuk mendaki.
Bukit Merah atau Bukit Buluh yang terkenal dengan pokok kelat gelam berwarna merah atau nama saintifiknya Eugenia Cerina Hend berdekatan Felda Padang Piol menjadi produk bukit yang unik.
Pokok yang banyak di sepanjang permatang bukit dan sekitar lereng menjadikan bukit itu sangat unik dan bakal menjadi tarikan utama pengunjung yang terletak pada ketinggian 331 meter khusus untuk peminat sukan lasak pendakian.
Jerantut turut mempunyai sungai yang bersih, cantik dan nyaman dan kebanyakannya berada di bahagian Hulu Tembeling, malah terdapat sungai yang belum diterokai atau tidak dipopularkan lagi.
Daerah ini juga terdapat Gua Gelanggi yang perlu diaktifkan serta Gunung Senyum yang terletak di Jengka 24, perlu diperkenalkan dengan lebih agresif kepada orang luar.
Gua Kota Gelanggi di sini, sering dikaitkan dengan pelbagai mitos, termasuk kononnya ia berasal dari sebuah kota yang dibina di kawasan itu sebelum disumpah Sang Kelembai sehingga menjadi batu.
Namun, lebih penting daripada cerita itu, Kota Gelanggi menyimpan satu rahsia yang belum dapat dirungkai sehingga kini iaitu dipercayai adalah lokasi perkembangan Kesultanan Melayu selepas Kerajaan Melaka runtuh berikutan serangan Portugis.
Masakan ikan sungai seperti ikan patin, jelawat, kelah dan sebagainya perlu diperhebatkan sebagai menu tradisional Jerantut seperti masakan gulai masam tempoyak, pais tempoyak, gulai asam rom, sambal hitam dan juga menu seperti bubur liar.
Kalau di negeri Sembilan terkenal dengan gulai daging salai, di Jerantut, masak lemak cili padi patin salai boleh diperkenalkan sebagai salah satu menu yang menarik.
Satu strategi pengusaha pelancongan perlu merancang dengan baik. Jadikan bandar Jerantut tempat persingahan sebelum ke Kuala Tahan.
Di sepanjang perjalanan bermula dari Lanchang yang terkenal dengan Pusat Pemeliharaan Gajah, Kuala Gandah, seterusnya ke Temerloh, Jerantut dan ke Kuala Tahan maka kluster pelancongan lain wajar diwujudkan.
Satu pakej perlu disediakan dengan membuatkan pelancong tidur semalaman di bandar dan dibawa ke Gua Gelanggi atau Gunung Senyum untuk mereka menikmati keindahannya di situ sebelum ke Kuala Tahan.
Secara tidak langsung, menghasilkan pendapatan kepada pengusaha di Gua Gelanggi, Gunung Senyum dan juga peniaga komuniti di sekitar tempat itu dan rumah penginapan di bandar Jerantut akan kembali segar.
Operator pelancongan di Kuala Tahan pula, selain fasiliti sedia ada, perlu kreatif dengan memikirkan aktiviti baharu di sana.
Mungkin boleh jadikan pokok tualang yang tinggi sebagai aktiviti memanjat dengan mempunyai prosedur keselamatan yang ketat. Aktiviti malam perlu difikirkan supaya pengunjung sentiasa mempunyai aktiviti yang menyeronokkan seperti membuat pondok atau ran di pokok.
Muzik tradisional Melayu Pahang, seperti gendang silat dan pesilatnya, kumpulan rebana atau mungkin membawa pasukan dikir barat dari Kelantan, tarian ulik mayang, caklempong dan gemelan boleh diketengahkan kepada pelancong semasa berada di Kuala Tahan untuk persembahan di waktu malam.
Kepada pengiat pelancongan iaitu pemandu pelancong seharusnya memikirkan satu prosedur yang standard dari sudut ketrampilan, komunikasi dan pengetahuan umum dengan persekitaran tempat kerja mereka.
Oleh itu, semua pihak perlu bertindak dan memikirkan dari sekarang untuk membuat persiapan “menyambut” pelancong selepas pandemik ini tamat, kerana pelancong sudah “resah dan gelisah” kerana berada di rumah atau negara masing-masing kerana tidak dapat ‘makan angin’.-SAHIH.
.https://sahih.com.my/perahu-kajang-sungai-tembeling-pupus/