5,000 banjiri padang Bolasepak Jerantut pada Ambang Merdeka
5,000 banjiri Padang Bolasepak Jerantut pada Ambang Merdeka
Kira-kira 5,000 orang hadir untuk menyaksikan pelbagai persembahan menjelang detik 12 malam dalam program Malam Ambang Merdeka ke-66 yang diadakan di Padang Bolasepak Daerah Jerantut dibanjiri, semalam.
Persembahan itu yang diadakan di tengah padang bolasepak turut menunjukkan semangat jati diri dan kekeluargaan yang hadir bersama keluarga masing-masing yang berbilang kaum.
Menariknya, selepas bacaan doa menyambut kemerdekaan oleh Imam Besar Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut, Mohd Fakri Hamzah disusuli dengan laungan merdeka sebanyak 7 kali yang bergema dan persembahan bunga api selama kira-kira 15 minit mewarnai angkasa di bandar ini.
Seorang pengunjung yang hadir, Anis Huda Amir yang balik bercuti sempena cuti sekolah mengambil peluang bersama keluarga dengan membentang tikar dan duduk santai bersama hadirin lain.
“Seronok melihat gelagat kanak-kanak kecil yang turut menggerakkan badan mengikuti muzik yang ditarikan oleh penari kebudayaan.
“Meriah dan bersemangat apabila melaungkan tujuh kali Merdeka bersama-sama,” katanya.
Seorang pengunjung, Saguna Sinnathamby berkata, pelbagai persembahan tradisional dan seni mempertahankan diri turut diadakan.
“Persembahan pegendangan pelbagai kaum turut diadakan termasuk tarian sewiag dan nyanyian nasyid serta Qasidah.
“Bagus juga, sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, kita dapat mengenali banyak kesenian yang dipersembahkan,” katanya.-SAHIH.