4 pejalan kaki cedera dirempuh kereta, pemandu diserang sawan
Foto : Pejalan kaki dilanggar kenderaan di KM 68, Kea Farm, Brinchang, dekat sini, pada jam 12 tengah hari ini
4 pejalan kaki cedera dirempuh kereta, pemandu diserang sawan
CAMERON HIGHLANDS – Empat orang pejalan kaki cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan yang dipercayai terbabas akibat pemandunya diserang sawan dalam satu kemalangan di KM 68, Jalan Kea Farm, Brinchang sekitar jam 12 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superitendan Azri Ramli berkata, siasatan awal mendapati pemandu terbabit yang datang dari arah Brinchang dipercayai hilang kawalan akibat serangan sawan sebelum kenderaannya terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar beberapa orang pejalan kaki.
“Kesemua mangsa telah menerima rawatan di hospital dan dibenarkan pulang selepas disahkan stabil oleh pihak perubatan.
“Semakan lanjut mendapati pemandu kenderaan tidak mempunyai sebarang rekod saman dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah, pemandu itu mempunyai rekod penyakit sawan,” katanya hari ini.
Katanya, satu saman telah dikeluarkan ke atas pemandu tersebut oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan maklumat tidak sahih berkaitan insiden ini dan menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat tambahan agar menghubungi Bilik Gerakan (DCC) IPD Cameron Highlands di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis berdekatan.-SAHIH.