32 PATI ditahan dalam ‘Op Hambat’ di Jerantut
32 PATI ditahan dalam ‘Op Hambat’ di Jerantut
JERANTUT : Seramai 32 pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk empat wanita, ditahan dalam satu Operasi Bersepadu ‘Op Hambat’ yang dijalankan sekitar daerah ini malam tadi.
Operasi yang bermula pada jam 10 malam dan berakhir jam 3 pagi tadi diselaraskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Kuantan.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Mohammad berkata, operasi melibatkan tiga pegawai dan 14 anggota daripada JIM, bersama sepasukan anggota polis.
“Hasil operasi, kita berjaya menahan 23 lelaki dan empat wanita warga Indonesia serta lima lelaki warga Bangladeshi.
“Tiada rampasan dilakukan dalam operasi ini. Semua PATI yang ditahan telah dibawa ke Jabatan Imigresen Kuantan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan di beberapa tapak pembinaan dan rumah kongsi di sekitar Jerantut atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menurut beliau, operasi itu merupakan sebahagian daripada tindakan berterusan pihak berkuasa bagi membanteras kehadiran PATI serta menjamin keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di kawasan pembinaan dan kediaman.-SAHIH
